PASUKAN Johor Jewels dan Terengganu Marvels memulakan kempen CelcomDigi Netball Super League (NSL) Regional Cup 2026 dengan langkah kanan selepas masing-masing mencatat kemenangan bergaya pada aksi pembukaan, malam tadi.
Johor Jewels tampil dominan apabila membelasah wakil Singapura, Sneakers Singapore 76-42 dalam aksi pertama kejohanan sekali gus memberi amaran awal kepada pencabar lain.
Kehadiran dua import berprofil tinggi, Gretel Bueta dan Matilda “Tilly” McDonell jelas memberikan impak besar apabila pasukan dari selatan tanah air itu menguasai permainan sejak suku pertama.
Bueta turut mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai “Queen of the Court” selepas menjaringkan 39 gol dengan ketepatan jaringan 95 peratus selain melakukan enam offensive rebound.
Naib juara NSL musim ini itu dijadual berdepan pencabar utama, Terengganu Marvels dalam aksi tumpuan malam ini.
Sementara itu, juara bertahan NSL, Terengganu Marvels turut mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan KL Wildcats 77-39.
Marvels meneruskan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan NSL Regional Cup sambil memperlihatkan ketajaman jentera serangan sepanjang perlawanan.
Pemain utama mereka, Maisarah Affandi turut mencipta rekod baharu kejohanan selepas menghasilkan 14 jaringan “super shots” dalam perlawanan tersebut.
Maisarah kemudian dipilih sebagai “Queen of the Court” hasil aksi cemerlangnya yang turut menyaksikan dia merekodkan 19 gol dan lima bantuan jaringan.
Saingan NSL Regional Cup malam ini dijangka lebih sengit dengan tumpuan terarah kepada pertembungan Johor Jewels dan Terengganu Marvels, manakala KL Wildcats bakal bertemu Sneakers Singapore.