Bermula dari pemain ‘sparring’ sebelum dipanggil ke skuad utama, pemain Johor Jewels, Nurul Ayu Izarin Zamri membuktikan laungan ‘reclaim the crown’ yang digunakan pasukan adalah motivasi dan bukannya tekanan buat dia dan rakan-rakan sepasukan.

Pemain yang mesra disapa Ayu itu dipanggil menggantikan Noramirah Dayana yang mengalami kecederaan dan jelas aksinya tidak menghampakan apabila membantu Johor Jewels layak ke perlawanan akhir Netball Super League (NSL) 2026.

Terus beraksi di peringkat separuh akhir nyata tidak memberikan tekanan buat dirinya dan dia sememangnya bersedia untuk bermain sekaligus membuktikan kualiti ‘squad depth’ yang ada pada pasukan kendalian Jane Searle itu.

“Saya sememangnya semangat apabila diberikan peluang dan mahu berikan yang terbaik atas kesempatan yang hadir ini. Apabila mengetahui yang saya perlu menggantikan Nora, saya bersedia sepenuhnya dan kini sedia membawa kejuaraan buat Johor Jewels.

“Slogan ‘Reclaim the Crown’ itu adalah semangat buat kami kerana memang kami mahukan piala itu semula dan semua pemain bersedia lakukan yang terbaik pada aksi akhir nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dia yang tidak bermain ketika Jewels tewas kepada Terengganu Marvels pada peringkat round robin mahu memberikan segala-galanya bagi memastikan dendam terbalas sekaligus bergelar juara sekali lagi.

“Memang saya tidak bermain tempoh hari tetapi kami sudah mengenalpasti taktikal yang dirancang dan kami akan lakukan yang terbaik,” jelasnya.

Johor Jewels layak ke final Netball Super League (NSL) 2026 selepas menewaskan KL Wildcats 64-48 di peringkat separuh akhir untuk bertemu Terengganu Marvels di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.