PASUKAN Kuching City FC dan Selangor FC bakal menentukan nasib masing-masing dalam perebutan slot ke AFC Champions League Two menjelang aksi terakhir Liga Super musim 2025-26, Ahad ini.

Kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu mata dengan Kuching City ketika ini berada di hadapan menerusi kutipan 50 mata, manakala Selangor mengumpul 49 mata selepas mengharungi 23 perlawanan.

Kuching City memiliki kelebihan tipis untuk memburu tiket ke pentas Asia apabila bakal melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC di Stadium Negeri, Kuching.

Sementara itu, Selangor pula dijadual menerima cabaran PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dalam misi wajib menang sambil mengharapkan Kuching City tercicir mata.

Skuad The Cats hadir dengan keyakinan tinggi selepas mencipta sejarah mara ke final Piala Malaysia musim ini, sekali gus membuktikan peningkatan besar dipamerkan pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak.

Namun momentum Selangor juga tidak kurang hebat apabila Red Giants baru sahaja menempah tiket ke final ASEAN Club Championship Shopee Cup selepas menewaskan Nam Dinh FC pada aksi separuh akhir tempoh hari.

Kejayaan itu menyuntik semangat tambahan buat skuad bimbingan Kim Pan-gon yang kini memburu penamat terbaik dalam Liga Super.

Selain perebutan slot ACL Two, aksi terakhir liga turut menjadi medan penting buat kedua-dua pasukan menutup musim dengan bergaya selepas mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kempen ini.

Segala penentuan kini bakal terjawab Ahad ini sama ada Kuching City mampu mempertahankan kedudukan mereka atau Selangor berjaya melakukan rampasan saat akhir untuk membawa cabaran Malaysia ke pentas Asia musim depan.