PASUKAN Johor Jewels menjangkakan corak permainan yang lebih mencabar menjelang aksi separuh akhir CelcomDigi Netball Super League (NSL) 2026 selepas tamat saingan peringkat liga.

Pemainnya, Puteri Intan Balqis mengakui setiap pasukan kini tampil dengan pendekatan berbeza memandangkan semua sudah mengenali kekuatan dan kelemahan lawan sepanjang tujuh perlawanan liga.

“Mungkin kita dah main bersama sebelum ini jadi setiap pasukan akan kaji balik apa kesalahan, apa yang perlu diperbaiki dan mungkin untuk perlawanan seterusnya akan ada kelainan yang berlaku dalam gelanggang,” katanya.

Menurutnya, fasa kalah mati menuntut setiap pasukan melakukan penyesuaian taktikal yang lebih rapi, selain memperbaiki kesilapan bagi memastikan prestasi lebih konsisten.

Johor Jewels menamatkan kempen liga di tangga kedua selepas mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan, sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Mereka dijadualkan bertemu KL Wildcats dalam aksi separuh akhir, manakala satu lagi perlawanan menemukan Terengganu Marvels dan Kedah Sunshine.

Terengganu Marvels pula muncul pasukan paling dominan selepas menamatkan saingan tanpa kalah untuk menduduki tangga teratas liga.

Dalam aksi terakhir liga, Johor Jewels mencatat kemenangan 66-50 ke atas KL Wildcats, sekali gus mengekalkan momentum positif menjelang pertembungan semula kedua-dua pasukan di peringkat separuh akhir.