FOTO : Perak FC

DUA gol sendiri terhasil dalam aksi menarik Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menyaksikan Perak FC meraih tiga mata berharga.

Bagaimanapun, Kelantan FC tampil garang apabila kerap kali melancarkan serangan ke kubu pelawat sebaik wisel pertama ditiupkan.

Gol pembukaan hadir apabila sepakan Nuha Marong terkena pemain Perak, Shivan Pillay dan bola melintasi garisan gol pada minit ke-14.

Terkejut jaringan itu, anak buah Datuk Lim Teong Kim menyusun semula taktikal dan ianya berhasil apabila mendapat ‘ihsan’ gol sendiri daripada pemain Kelantan, Yusri Yuhasmadi minit 35.

Ketika pasukan tuan rumah mahu menamatkan babak pertama dengan kedudukan seri sebelum menuju bilik persalinan, Luciano Guacochea meletakkan The Bos Gaurus di depan minit 45 sekali gus peminat The Red Warriors tergamam.

Penguasaan Perak berterusan sebaik bersambung separuh masa kedua. Hantaran Wan Zack Haikal disudahkan bergaya oleh Che Suhairi Che Halim untuk gol pertamanya bersama Perak m-69.

Pemain gantian, Norshamil Abd Ghani cuba menghidupkan saki baki kebangkitan Kelantan dengan gol minit 90’+4 tetapi ianya sudah terlambat mengekang skuad Kejor Yob Kejor memastikan meraih semula kemenangan sensasi 3-2 dari kandang lawan.

Untuk rekod, kali terakhir Perak menang dalam aksi liga adalah menewaskan Kuching City pada 12 Mac lepas di Ipoh.

Susulan kemenangan itu, Perak kini mengumpul sembilan mata dan masih kekal kelompok tangga ke-11 manakala Kelantan berada di tempat ke-13 dengan sekadar kutipan empat mata.