TONGGAK Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim, optimis pasukan kebangsaan mampu mengatasi cabaran Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, 14 dan 20 Jun ini.

Menurut pemain sayap Selangor FC itu, sentuhan pengendali, Kim Pan-gon serta adunan tonggak berpengalaman dan pemain muda diyakini menghadirkan magis buat Harimau Malaya.

Faisal berkata, kelebihan fizikal dimiliki dua negara Oceania itu tidak menghalang keupayaan Malaysia untuk mengulangi kemenangan ke atas Turkemenistan dan Hong Kong, Mac lalu.

“Tiada perlawanan yang mudah terutama di pentas antarabangsa bahkan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea juga ada kualiti tersendiri dengan skuad mereka.

“Namun saya percaya percaturan taktikal Pan-gon dengan kekuatan barisan pemain Malaysia boleh memberikan kemenangan dalam dua perlawanan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Ahad.

Dalam masa sama, Faisal mengakui teruja untuk kembali beraksi di bumi Terengganu selepas enam bulan meninggalkan negeri itu untuk menyarung jersi Selangor musim ini.

Malah Faisal meletakkan harapan tinggi agar penyokong Terengganu dapat memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua pemain Harimau Malaya yang kali pertama turun ke Pantai Timur.

“Ini penampilan sulung di gelanggang keramat Sultan Mizan Zainal Abidin dan sudah tentu akan mengubat kerinduan terhadap peminat di Terengganu,” tambahnya lagi.