Peluang membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa menjadi taruhan 24 pemain yang dipanggil memperkuatkan Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 FIFA menentang China dan Yemen bulan ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai berkenaan pada Selasa, dengan skuad negara dijadual menentang China pada 14 November sebelum berdepan Yemen tiga hari kemudian, iaitu pada 17 November.
Daripada keseluruhan 24 pemain yang dipilih, 11 daripadanya merupakan anggota skuad yang beraksi pada Piala FIFA ASEAN 2026 di Indonesia. Sebanyak 11 pemain lain kembali mendapat kepercayaan, termasuk tiga yang beraksi pada Piala Hyundai ASEAN 2026, manakala dua pemain menerima panggilan sulung.
Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, pemilihan kali ini memberi penekanan kepada usaha memperluaskan pilihan pemain dengan membuka peluang kepada lebih ramai bakat untuk menunjukkan kemampuan masing-masing.
“Bagi dua aksi persahabatan di China, saya mengambil pendekatan untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain termasuk dua muka baharu menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya.
“Saya mahu melihat kemampuan, kualiti dan kesesuaian mereka untuk beraksi di peringkat antarabangsa, selain menilai sejauh mana mereka dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan serta kehendak pasukan,” katanya.
Menurut Cheng Hoe, dua perlawanan itu turut menjadi medan penting untuk mengenal pasti pemain yang berpotensi mengisi perancangan jangka panjang skuad kebangsaan, memandangkan kalendar antarabangsa FIFA seterusnya hanya berlangsung pada Mac 2027.
“Dua perlawanan ini bukan sekadar untuk mendapatkan keputusan positif, tetapi juga penting sebagai sebahagian daripada proses membina pasukan dan mempersiapkan skuad bagi menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau turut mahu tempoh persiapan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menilai prestasi individu, membina keserasian antara pemain serta memperkukuh pemahaman taktikal menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2030/Piala Asia 2032.
Dalam masa sama, Cheng Hoe menjelaskan ketiadaan beberapa pemain utama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam senarai kali ini mengambil kira jadual padat kelab itu sepanjang November, termasuk tugasan dalam Liga Juara-Juara Asia, Piala Shopee dan separuh akhir Piala FA.
Katanya, keputusan itu turut memberi ruang kepada JDT untuk memberikan tumpuan kepada komitmen di peringkat kelab, khususnya dalam usaha mengumpul mata bagi ranking Persatuan Anggota (MA) Asia yang mampu memberi manfaat kepada kedudukan bola sepak Malaysia di benua berkenaan.