SUSULAN aksi longlai dipamerkan pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang Selangor FC sebelum ini, muncul suara – suara sumbang yang mengaitkannya ke Selangor FC.
Perkhabaran tersebut semakin bertiup kencang apabila ramai dari kalangan warganet yang membuat tohmahan dengan menyelar aksi pertahanan NSFC itu seakan-akan ingin memberi kemenangan percuma kepada Selangor FC.
Bagaimanapun, reaksi berbeza ditampilkan pemain Negeri Sembilan FC itu dengan menyifatkan tuduhan tersebut adalah tidak masuk akal sama sekali.
Jelasnya, sebagai umat Islam, dia tahu membezakan halal dan haram dan sedar sumber rezeki halal perlu disalurkan kepada keluarganya.
“Bagi saya, benda itu semua tidak masuk akal. Selagi kita bermain dengan Negeri Sembilan, saya masih menyarung jersi Negeri Sembilan FC.
“Saya tahu mana rezeki yang halal untuk keluarga kita semua. Apa yang orang cakap yang sebaliknya, saya tidak boleh hendak kata apa. Saya tidak boleh tutup mulut orang,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Biarpun menerima kritikan hebat dari penyokong pasukannya sendiri, namun Jimmy tetap tenang menjelaskan segala tohmahan yang dilemparkan sama sekali tidak menjejaskan kariernya sebagai pemain Negeri Sembilan FC.
Kontraknya bersama Negeri Sembilan FC dijangka tamat penghujung November ini.
“Apa jadi sekalipun, saya tetap dengan Negeri Sembilan dan masih lagi ada kontrak dengan Negeri Sembilan.
“Apa yang ditohmahkan kepada saya adalah sesuatu yang tidak akan melemahkan saya secara moral kerana saya ingin menegaskan saya masih bersama Negeri Sembilan,” katanya.