PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menuntut para pemain mengekalkan prestasi cemerlang mereka bermula dengan aksi bertemu Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada Ahad.
Dia juga mengakui akan melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama selepas beberapa pemain mengalami kecederaan dan hanya akan membuat keputusan siapa akan diturunkan menjelang hari perlawanan.
Ong Kim Swee turut memuji gandingan Saddil Ramdhani dan Darren Lok yang menunjukkan kombinasi baik untuk menjaringkan gol meskipun baru sahaja bergandingan musim ini.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee
“Mungkin ada beberapa perubahan yang akan dilakukan dalam kesebelasan utama kerana ada beberapa pemain seperti Telmo, Gabriel dan juga Jailton yang mengalami kecederaan termasuk Darren Lok. Jadi saya hanya dapat tentukan para pemain ini dapat diturunkan ataupun tidak selepas latihan terakhir.
“Keadaan pemain amat baik dan saya percaya kecergasan mereka berada pada tahap yang cukup baik di mana para pemain yang diturunkan tidak kira sama ada kesebelasan utama ataupun yang dimasukkan menunjukkan tahap kecergasan yang cukup bagus.

“Saddil dan Darren bukan sahaja menunjukkan kombinasi yang baik tetapi mereka berjaya mendapatkan gol dan bermain begitu baik walaupun baru bersama-sama dalam beberapa perlawanan selain para pemain yang lain juga menunjukkan satu prestasi yang cukup baik. Jadi saya harap mereka dapat kekalkan prestasi mereka untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.
Sabah bertandang ke Kuantan dengan rekod tiga kemenangan dari tiga perlawanan dan sudah tentu mahu meneruskan momentum kemenangan manakala Sri Pahang yang juga belum tewas mahu menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh.