Johor Darul Ta’zim (JDT) diingatkan supaya tidak terlalu selesa selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sanfrecce Hiroshima dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab itu menegaskan perjalanan Harimau Selatan masih jauh dan kemenangan tersebut hanya dianggap sebagai ‘separuh masa’ sebelum aksi timbal balik.
Baginda bagaimanapun meluahkan rasa bangga terhadap prestasi skuad kendalian Xisco Munoz yang berjaya menundukkan kelab Jepun itu, yang sebelum ini berada dalam kelompok tiga terbaik Liga ACLE Zon Timur.
“Masih satu perjalanan yang jauh perlu diharungi. Bangga dengan pasukan, tetapi ini baru separuh masa,” tulis Tunku Mahkota Ismail menerusi komen di laman Instagram rasmi kelab tersebut.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bersama pemain-pemain JDT dalam bilik persalianan. (Sumber Gambar: Foto IG)
Baginda turut berkongsi beberapa gambar meraikan kemenangan berkenaan di Stadium Sultan Ibrahim selain memberi kata-kata semangat kepada pemain di bilik persalinan selepas tamat perlawanan.
Dalam aksi tersebut, JDT memanfaatkan kelebihan apabila Sanfrecce Hiroshima terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanan mereka, Kim Ju Sung dilayangkan kad merah pada minit ke-26.
Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Harimau Selatan apabila Ager Aketxe membuka jaringan pada minit ke-52 sebelum Bergson da Silva menambah gol kedua pada minit ke-63 dan Marcus Guilherme melengkapkan jaringan ketiga pada minit ke-85.
Sanfrecce Hiroshima hanya mampu meraih satu gol saguhati menerusi jaringan sendiri pemain JDT, Nene pada minit ke-86.
Kemenangan itu juga dilihat sebagai penebus kekalahan JDT kepada kelab sama pada aksi peringkat liga ACLE, 10 Februari lalu yang menyaksikan Harimau Selatan tewas 1-2 selepas bermain dengan 10 pemain susulan kad merah Jonathan Silva seawal minit ke-15.