PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac mengakui pasukannya mengharungi saat yang sukar selepas kehilangan beberapa tonggak yang dilepaskan mewakili negara untuk menghadapi kempen Piala Asean Mitsubishi Electric 2024.

Skuad warga kota kehilangan khidmat Paulo Josue dan Haqimi Azim sekali gus menyukarkan mereka ketika tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Meskipun bermain dengan corak permainan bertahan sepanjang perlawanan, dua gol dari jarak jauh dan satu penalti semuanya oleh Arif Aiman Hanapi menyaksikan KL City pulang hampa tanpa sebarang mata.

“Kami sudah menjangkakan satu perlawanan yang sukar kerana JDT menekan kami setiap masa tetapi saya memuji kesungguhan para pemain yang memberikan segala-galanya walaupun sukar tanpa Paulo Josue dan Haqimi Azim.

“Kami dibolosi tiga gol pada babak pertama dan saya jelaskan pada pemain pada rehat separuh masa untuk membayangkan perlawanan masih terikat tanpa jaringan dan mereka bermain lebih baik pada separuh masa kedua walaupun saya mahu mereka mengawal perlawanan lebih lama tetapi ianya sangat sukar.

“Memang sukar tanpa Paulo dan Haqimi yang menjaringkan 16 gol musim ini dan keadaan akan bertambah sukar selepas ini kerana kami akan kehilangan Declan Lambert dan Patrick Reichelt yang turut akan menyertai skuad kebangsaan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kuljanac kini bakal mencongak strategi terbaik menjelang aksi suku akhir Piala Malaysia menentang lawan yang sama serta satu perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan bagi memastikan mereka mempunyai skuad yang baik untuk memberikan saingan.

“Dalam 18 hari kami perlu bermain empat perlawanan dan saya tidak mahu komen berkaitan perkara ini cuma ianya sukar tanpa pemain utama dan berharap tidak ada kecederaan baharu melanda dan pemain yang cedera dapat pulih,” jelasnya.

Kekalahan kedua berturut-turut dalam liga itu menyaksikan KL City kekal di tangga kesembilan liga dengan 14 mata dan perlu kembali mencari kemenangan ke atas Negeri Sembilan untuk mengukuhkan kembali kedudukan.