KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menghukum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) akibat pelanggaran peraturan perlawanan ujian antarabangsa antara kelab.
Memetik laporan Antara, PSSI dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan perlawanan persahabatan antara Persiraja Banda Aceh dan kelab Malaysia, Penang FC, pada 6 November 2024.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium H. Darmatula, Banda Aceh itu didapati melanggar Artikel 11 peraturan AFC mengenai perlawanan antarabangsa.
“Tergugat baru mengemukakan permohonan kebenaran bagi perlawanan antarabangsa kepada AFC pada 26 dan 29 Oktober 2024,” menurut kenyataan AFC.
Berdasarkan Artikel 11, Fasal 10 peraturan AFC, setiap pasukan wajib mendapatkan kebenaran daripada persatuan ahli AFC untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa.
Selepas mendapat kebenaran, pasukan yang terlibat atau persatuan ahli AFC perlu mengeluarkan surat kelulusan kepada persatuan yang menjadi tuan rumah bagi perlawanan tersebut.
Pihak penganjur juga diwajibkan menghantar surat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat kepada AFC selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh perlawanan yang dicadangkan.
Dalam kes ini, PSSI selaku penganjur hanya mengemukakan permohonan pada 26 dan 29 Oktober 2024, iaitu 12 hari sebelum perlawanan berlangsung.
Akibat pelanggaran ini, AFC mengenakan denda sebanyak USD 1,250 (RM5,550) kepada PSSI.
PSSI perlu melunaskan denda tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan pelanggaran dikomunikasikan, mengikut Artikel 11, Fasal 3 Kod Etika dan Disiplin AFC.