DALAM musim yang boleh dilabel sebagai mimpi ngeri buat Tottenham Hotspur di Liga Perdana Inggeris, satu sinar akhirnya muncul di pentas Eropah apabila kelab itu menamatkan penantian 17 tahun tanpa trofi dengan menjulang gelaran Liga Europa 2025 hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Manchester United awal pagi tadi.

Brennan Johnson muncul wira apabila jaringannya pada minit ke-42 cukup untuk menghadiahkan Spurs kejuaraan pertama mereka sejak Piala Liga 2008, dan lebih manis, ia merupakan gelaran Eropah pertama kelab London itu sejak 1984.

“Saya terlalu gembira sekarang. Musim ini memang mengecewakan, tapi saya rasa tiada siapa dalam pasukan peduli lagi tentang itu. Inilah yang paling penting – kelab ini akhirnya menang trofi,” kata Johnson sambil tersenyum lebar.

Jaringan Johnson mungkin tidak cantik, tetapi cukup bermakna. Sepakan lintang Pape Sarr terkena beliau dan juga Luke Shaw sebelum bola bergolek perlahan menewaskan Andre Onana.

“Saya tahu saya sentuh bola itu, tapi bila saya pandang ke depan, bola tu macam perlahan je masuk ke gawang. Saya tak dapat gambarkan perasaan itu,” ujar pemain berusia 23 tahun itu.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada jurulatih Ange Postecoglou yang berjaya menamatkan badi kelab pada musim keduanya bersama pasukan.

“Dia pernah cakap dia akan menang trofi pada musim kedua dan dia buktikan. Saya sangat hargai kepercayaan dia kepada kami,” katanya.

Postecoglou pula menyifatkan kemenangan itu sebagai satu kelegaan besar buat kelab dan para penyokong. “Saya tahu betapa besar makna kemenangan ini. Lagi lama kita tak menang, lagi susah untuk ubah mentaliti itu. Tapi hari ini, kami berjaya,” ujar jurulatih dari Australia itu.

Kemenangan ini bukan sekadar menamatkan kemarau trofi, tetapi turut mengubah naratif ‘Spurs tidak akan menang apa-apa’. Dan malam ini, di Bilbao, mereka akhirnya ‘get it done’.