ATLET muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, tampil garang di pentas One Fight Night apabila hanya memerlukan 70 saat untuk menumbangkan wakil Rusia, Shamil Adukhov, dalam aksi mendebarkan di Bangkok, Thailand, pada Sabtu.
Beraksi dalam kategori catchweight, Aliff, 21, tidak memberi ruang kepada lawannya apabila melancarkan serangan agresif seawal pusingan pertama, sekali gus mencatat kemenangan knockout (KO) yang mengukuhkan rekodnya kepada 7-2 dalam sembilan perlawanan di bawah ONE Championship.
Lebih manis, kemenangan bergaya itu turut menghadiahkan bonus kemenangan bernilai USD50,000 (kira-kira RM222,000), menandakan pencapaian luar biasa buat bintang muda muay thai negara.
Aliff, dalam satu kiriman Instagram Story sebentar tadi, mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokongnya selama ini.
“Assalamualaikum, terima kasih semua kerana sudah menyokong Aliff. Terima kasih!” katanya.
Berlangsung di Stadium Lumpinee, perlawanan menyaksikan Aliff bijak mengawal asakan awal Adukhov sebelum bertindak balas dengan dua tumbukan padu ke kepala lawannya.
Tumbukan maut itu cukup untuk meranapkan harapan Adukhov, yang akhirnya gagal bangkit dan terpaksa akur dengan kehebatan petarung Malaysia.
Kemenangan ini sekali lagi membuktikan Ahmad Nor Iman Aliff sebagai pencabar serius dalam arena muay thai antarabangsa!
FOTO KREDIT : Credit One Championship