TERJEMAHAN DARI The-afc.com

PEMAIN sayap lincah, Arif Aiman Hanapi, terus memberikan impak besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam edisi sulung Liga Juara-Juara AFC Elite ketika juara Malaysia itu berusaha untuk menempah tempat ke pusingan kalah mati kejohanan tersebut.

Pemain berusia 22 tahun itu memulakan kempen peringkat liga dengan cemerlang apabila menjaringkan dua gol dalam keputusan seri 2-2 menentang Shanghai Port sebelum membuka jaringan dalam kemenangan 3-0 ke atas Shanghai Shenhua.

Sejak itu, Arif turut mencetak nama sebagai penjaring ketika menentang Ulsan HD, menjadikan jumlah golnya kepada empat dalam enam perlawanan.

Dengan JDT bakal berdepan Central Coast Mariners dan Pohang Steelers pada Februari, beliau berkongsi pandangannya mengenai saingan ini kepada the-AFC.com.

Bagaimana anda menilai prestasi JDT dalam Liga Juara-Juara AFC Elite setakat ini?

“Saya tidak mahu membuat rumusan lagi kerana kami masih mempunyai dua perlawanan yang perlu dihadapi. Fokus kami kini adalah terhadap perlawanan akan datang dan bukan menoleh ke belakang untuk menilai pencapaian setakat ini.”

Anda telah memberikan impak besar dalam kejohanan ini. Apakah detik paling bermakna bagi anda dalam enam perlawanan kumpulan yang pertama?

“Bagi saya, impak terbesar adalah pada pasukan secara keseluruhan, bukan saya seorang sahaja. Kami semua telah memberikan yang terbaik dalam enam perlawanan kumpulan yang telah berlangsung, namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Saya bertekad untuk terus meningkatkan prestasi bagi memastikan pasukan layak ke pusingan seterusnya. Gol-gol yang saya jaringkan menjadi motivasi untuk saya terus berusaha dalam perlawanan yang akan datang.”

JDT kini berada di kedudukan keenam dalam peringkat liga. Apakah maknanya kepada anda dan kelab jika berjaya layak ke pusingan 16 terbaik?

“Kami akan memberikan yang terbaik dalam baki dua perlawanan liga ini. Kami sudah bersedia dan telah memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pasukan. Dua perlawanan terakhir ini amat penting dalam menentukan sama ada kami dapat melangkah ke pusingan 16 terbaik atau tidak.”

Anda mempunyai pengalaman bermain dalam Liga Juara-Juara AFC pada musim-musim sebelumnya. Bagaimana pengalaman itu membantu anda menghadapi cabaran kali ini?

“Berdasarkan pengalaman saya bermain di peringkat tertinggi, setiap perlawanan pasti mempunyai cabaran tersendiri. Dalam pertandingan tertinggi di Asia, tiada perlawanan yang mudah. Namun, saya melihatnya sebagai peluang untuk membuktikan kemampuan saya di peringkat Asia, bukan sebagai beban. Saya amat menghargainya dan akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Tahap saingan ini bukan sahaja mencabar bagi saya tetapi juga bagi pasukan secara keseluruhan, sebab itu kami berusaha mendapatkan keputusan yang baik.”

Boleh ceritakan sedikit mengenai perjalanan anda menjadi pemain bola sepak profesional dan siapa idola atau inspirasi terbesar anda semasa membesar?

“Sejak kecil, impian saya adalah untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Sepanjang perjalanan ini, saya menerima sokongan padu terutama daripada ibu bapa saya yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Pemangku Sultan Johor juga banyak memberi dorongan dan memainkan peranan besar dalam perkembangan saya di JDT. Saya akan terus bekerja keras kerana mentaliti saya adalah untuk sentiasa memperbaiki diri. Keluarga saya adalah inspirasi terbesar dalam hidup saya.”

Apakah matlamat jangka panjang anda? Adakah anda bercita-cita untuk beraksi di luar negara, dan jika ya, di mana anda ingin bermain pada masa hadapan?

“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkatkan diri sebagai pemain dan beraksi pada tahap tertinggi bersama JDT. Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tahap ini. Saya merasakan masih banyak yang perlu saya capai, jadi saya akan terus berusaha dan meletakkan sasaran yang tinggi.”