Legenda bola jaring New Zealand, Laura Langman menyatakan kesediaannya untuk membantu Johor Jewels memburu kejuaraan Netball Super League (NSL) 2026 selepas teruja dengan pengalaman awalnya bersama pasukan itu.

Bekas kapten Silver Ferns itu mengakui tertarik untuk kembali beraksi secara kompetitif di Malaysia selepas melihat perkembangan positif liga bola jaring tempatan serta potensi yang dimiliki skuad Johor Jewels.

Menurutnya, penyertaan dalam NSL memberi peluang untuknya kembali menikmati suasana pertandingan selain menyumbang pengalaman kepada pasukan kendalian Jane Searle.

“Saya berminat untuk mengetahui tahap liga di Malaysia dan tertarik dengan banyak perkara positif mengenai Johor termasuk masyarakat serta budayanya,” katanya.

Legenda bola jaring New Zealand, Laura Langman

Langman turut memuji kualiti permainan dalam NSL yang disifatkannya kompetitif dengan tahap ketepatan lontaran yang tinggi, selain format dua mata yang menjadikan perlawanan lebih menarik.

Beliau bagaimanapun menegaskan kejayaan Johor Jewels menjuarai kempen pramusim bukanlah gambaran sebenar kekuatan pasukan, sebaliknya ia lebih kepada platform untuk menilai tahap prestasi dan strategi.

“Pramusim adalah peluang untuk melihat kekuatan dan kelemahan pasukan serta mencuba sistem permainan sebelum saingan sebenar bermula,” katanya.

Kehadiran Langman bersama seorang lagi pemain berprofil tinggi, Gretel Bueta dijangka memperkukuh pasukan dalam usaha merampas kembali kejuaraan selepas tewas di final musim lalu.

Dalam masa sama, Langman menyeru penyokong untuk hadir memberi sokongan kepada pasukan sepanjang kempen NSL berlangsung.

Johor Jewels dijadual membuka tirai saingan menentang Melaka Mystic sebelum berdepan Selangor Angels pada minggu pertama kejohanan.