GIGIH memburu impian, pelayar berpengalaman negara, Khairulnizam Mohd Afendy enggan berputus asa selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada perlumbaan di Kejohanan Dunia ILCA 7 di Adelaide, Australia hujung minggu lalu.
Berkongsi isi hatinya menerusi hantaran di Facebook miliknya, Khairulnizam berkata, impian untuk melayakkan diri ke Paris 2024, masih terbuka buatnya dan dia tetap mahu melengkapkan impian untuk berada di pentas Olimpik kali keempat.
Mengakui agak sukar menempuh cabaran terutamanya dari segi kewangan, selepas terpaksa menyertai kejohanan tanpa bantuan dari Majlis Sukan Negara (MSN) atau Persatuan Pelayaran Kebangsaan, semangatnya tetap utuh memburu satu lagi peluang.
“Misi untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik ‘tertangguh’ namun masih ada satu lagi peluang untuk melayakkan diri ke Olimpik di kejohanan ‘Last Chance Regatta’ pada bulan April nanti.
“Ucapan terima kasih buat keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu terutamanya dari segi kewangan untuk menyertai kejohanan ini di mana saya tidak menerima apa-apa bantuan kewangan dari MSN ataupun persatuan kebangsaan bagi kejohanan penting ini.
“Selain itu, saya bersyukur kerana menerima bantuan dari jurulatih Thailand semasa latihan dan perlumbaan di sini kerana tiada jurulatih yg di hantar oleh MSN atau persatuan.
“Dengan pelbagai halangan dan dugaan saya masih lagi mampu untuk bersaing hingga ke perlumbaan terakhir dan hanya kurang empat mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.
Terdahulu pemenang dua pingat perak Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dan Incehon 2014 menamatkan saingan Kejohanan Dunia ILCA 7 Adelaide 2024 semalam di kedudukan ke-33 dari 152 peserta yang mengambil bahagian.
Hanya empat mata memisahkan Kharulnizam daripada Paris.
Katanya, kerja keras akan diteruskan pada bulan April dan berharap ada berita gembira akan diperoleh.
Pada temasya Tokyo, Khairulnizam yang beraksi dalam acara laser menamatkan saingan di kedudukan ke-28 dari 35 peserta yang mengambil bahagian.
Manakala di Olimpik Rio, atlet kelahiran Kedah itu berkedudukan tempat ke-35 dari 46 peserta dan dia menamatkan saingan Olimpik London 2012 di tempat ke-47 dari 49 peserta.