Bayern Munich melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Real Madrid 4-3 dalam aksi dramatik di Allianz Arena, sekali gus mara dengan agregat 6-4.

Perlawanan bermula dengan kejutan awal apabila kesilapan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer menghadiahkan gol seawal 35 saat kepada Real Madrid menerusi jaringan jarak jauh Arda Güler.

Namun Bayern tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Aleksandar Pavlović menyamakan kedudukan hasil tandukan daripada sepakan penjuru Joshua Kimmich.

Real Madrid kembali di depan selepas Güler sekali lagi mencuri tumpuan dengan sepakan percuma menarik sebelum Bayern kembali menguasai permainan dan menyamakan agregat menerusi jaringan Harry Kane.

Aksi babak pertama terus berlangsung sengit apabila Kylian Mbappé menjaringkan gol untuk meletakkan pelawat kembali di hadapan sebelum rehat.

Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus saling berbalas serangan dengan Bayern lebih banyak menguasai bola, namun kekentalan benteng Real dan aksi cemerlang penjaga gol, Andriy Lunin beberapa kali menggagalkan percubaan tuan rumah.

Momentum perlawanan berubah pada penghujung aksi apabila pemain Real, Eduardo Camavinga dilayangkan kad kuning kedua, sekali gus memberi kelebihan kepada Bayern.

Bayern pantas memanfaatkan situasi itu apabila Luis Díaz menjaringkan gol penting sebelum Michael Olise melengkapkan kemenangan dramatik dengan jaringan pada saat akhir.

Kemenangan itu memastikan Bayern meneruskan rekod tanpa kalah ke-17 berturut-turut dalam semua kejohanan selain mengesahkan tempat ke separuh akhir untuk bertemu Paris Saint-Germain.

Bagi Real Madrid pula, kekalahan ini menyaksikan mereka tersingkir di peringkat suku akhir buat kali kedua dalam tempoh 14 musim terakhir.