PELATIH Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) meninggal dunia di Ipoh pagi ini.

Bill Wolfson Anak Lianie, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Penrissen, Kuching, Sarawak, meninggal dunia ketika menyertai ketika menyertai Program Klinik Penjaga Gol NHDP yang dikendalikan Persekutuan Hoki Asia (AHF)/Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)/Akademi Hoki Raja Ashman di Ipoh, Perak.

Menurut kenyataan dikeluarkan Majlis Sukan Negara (MSN), selepas selesai mandi pagi ini (Ahad), mendiang mengadu kepada rakannya berasa tidak selesa dan mahu pitam sebelum tiba-tiba rebah dalam biliknya.

“Pengurusan NHDP memanggil ambulan dan bantuan pernafasan CPR dilakukan, sebelum mendiang dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Cubaan menyelamatkannya dilakukan sebelum disahkan meninggal dunia dan punca kematian belum disahkan,” kata kenyataan itu.

Bill Wolfson Anak Lianie, 14, menyertai klinik penjaga gol yang dikendalikan NHDP di Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Ipoh.

Mendiang Wolfson, salah seorang penjaga gol di Pusat Latihan Daerah (PLD) NHDP di SMK Penrissen, Kuching dan terpilih mengikuti klinik penjaga gol yang dikendalikan NHDP di Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Ipoh pada 5-6 November 2022 sempena penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022.

Mendiang ditemani Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sarawak Cik Wilina Mac Carina Anak Wilson.

MSN turut memaklumkan bahawa keluarga mendiang sudah dihubungi dan pihak Pengurusan NHDP masih sedang berurusan dengan pihak hospital mengenai pengurusan jenazah. Ibu saudara Mendiang Wolfson sedang dalam perjalanan ke Ipoh bagi membantu kelancaran pengurusan jenazah Mendiang Wolfson.

Mendiang Wolfson akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak bagi urusan pengkebumiannya.

Susulan itu, Majlis Penutup Seminar Kejurulatihan dan Pegawai Teknikal yang dijadualkan tengahari ini, dibatalkan.

Mengikut perancangan, majlis terbabit akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Presiden KHM, Subahan Kamal bersama Timbalan Presiden, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan KHM, Dr S Shamala serta Presiden Persatuan Hoki Negeri Perak, Sayuti Abdul Samat, turut berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menguruskan jenazah.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal bersama Timbalan Presiden, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan KHM, Prof Datuk Dr S Shamala dan Presiden Persatuan Hoki Negeri Perak, Sayuti Abdul Samat, turut berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menguruskan Jenazah Mendiang serta menanti ahli keluarga Mendiang untuk tiba.

Pihak Kerajaan Negeri Perak melalui Majlis Sukan Negeri Perak turut membantu pengurusan jenazah. Kesemuanya termasuk rakan-rakan sepelatihnya yang mengikuti klinik tersebut berasa amat dukacita dan merakamkan ucapan Takziah kepada keluarga Mendiang dan Persatuan Hoki Negeri Sarawak.