LEGENDA pasukan kebangsaan Jerman, Andreas Brehme, meninggal dunia pada usia 63 tahun pada Selasa.
Pengesahan berita menyedihkan ini didedahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) dan bekas kelab Brehme, Bayern Munich.
“Rehat dengan tenang, Andy,” tulis DFB sambil memuat naik foto Brehme menjulang trofi ketika memenangi Piala Dunia 1990.
“FC Bayern amat terkejut dengan kematian Andreas Brehme. Kami akan sentiasa mengingati Andreas Brehme dalam hati kami, sebagai juara dunia dan lebih-lebih lagi sebagai orang yang sangat istimewa. Dia akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga FC Bayern. Rehat dengan tenang , sayang Andi!” tulis kenyataan Bavaria.
Brehme adalah legenda pasukan kebangsaan Jerman dan bermain untuk Der Panzer dari 1984 hingga 1994. Secara keseluruhan, bekas pemain Kaiserslautern, Bayern Munich dan Inter Milan itu mengumpul 86 caps dan menjaringkan lapan gol.
Ruhe in Frieden, Andy! 🕊️#RIP #Brehme | 📸 IMAGO pic.twitter.com/JfNGcZOi6v
— DFB-Team (@DFB_Team) February 20, 2024
Salah satu gol yang dijaringkan Brehme untuk pasukan kebangsaan Jerman adalah pada perlawanan akhir Piala Dunia 1990. Dalam perlawanan akhir di Stadio Olimpico, Rom, 8 Julai 1990, sepakan penalti Brehme pada minit ke-85 menjadi penentu kemenangan 1-0 Jerman.
Pencapaian Brehme bersama pasukan Jerman turut diraih apabila menjadi naib juara Piala Dunia 1986 dan Euro 1992.
Semasa menjadi pemain, Brehme boleh beraksi sebagai bek kiri, pemain sayap kiri dan pemain tengah bertahan.
Bersara sebagai pemain pada tahun 1998, Brehme adalah jurulatih Kaiserslautern (2000-2002), SpVgg Unterhaching (2004-2005) dan penolong jurulatih VfB Stuttgart pada 2005-2006.