Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan Piala Asia akan kembali berlangsung pada tahun genap bermula edisi 2032 selepas pindaan statut badan induk itu diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa di Tokyo, Jumaat.

Perubahan itu menyaksikan edisi 2027 di Arab Saudi menjadi kejohanan terakhir yang berlangsung pada tahun ganjil sebelum pertandingan bola sepak terbesar Asia di peringkat kebangsaan itu kembali kepada jadual tahun genap.

Menurut AFC, pindaan berkenaan dibuat susulan jangkaan perubahan terhadap kalendar perlawanan antarabangsa yang dirancang Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selain mengambil kira hasil perbincangan antara kedua-dua badan tersebut.

Langkah itu turut bertujuan menyelaraskan kitaran pemilihan kepimpinan AFC dengan jadual kejohanan utama konfederasi berkenaan, sekali gus memastikan kesinambungan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan pertandingan.

Perubahan tersebut menandakan kali pertama sejak 2004 Piala Asia kembali dianjurkan pada tahun genap. Bagaimanapun, lokasi bagi edisi 2032 masih belum diputuskan.

Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa, menyifatkan kelulusan pindaan itu sebagai langkah penting untuk memperkukuh sistem tadbir urus, selain memastikan ketelusan dan kesinambungan dalam pengurusan bola sepak Asia.

Beliau turut menekankan kepentingan mengutamakan kepentingan bersama bola sepak Asia, selain mengekalkan nilai ketelusan, perpaduan dan keterangkuman dalam menghadapi fasa baharu organisasi tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, AFC turut mengesahkan pemilihan bagi jawatan kepimpinan utama badan itu akan berlangsung pada 2027 mengikut peruntukan statut yang dipinda.

Bagaimanapun, individu yang dipilih tidak akan memulakan tugas serta-merta kerana tempoh perkhidmatan baharu hanya bermula pada 1 Januari 2028 dan berakhir pada 2032. Kepimpinan sedia ada yang dipilih bagi tempoh 2023 hingga 2027 akan terus menjalankan tanggungjawab sehingga penghujung 2027.

AFC memaklumkan maklumat lanjut mengenai proses pemilihan tersebut akan diumumkan kemudian, selaras dengan usaha menyelaraskan jadual kepimpinan organisasi dengan kalendar kejohanan utama bola sepak Asia.