PASUKAN Kelantan FC diberikan tempoh sehingga 8 Mei untuk mendaftarkan minimum 20 pemain bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga MBSB Bank Championship A1 Semi Pro 2024-25.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad dan jika gagal untuk berbuat demikian, Kelantan FC akan digugurkan daripada saingan liga yang akan bermula pada 1 Jun 2024.
The Red Warriors (TRW) kini berhadapan cabaran untuk mencukupkan bilangan minimum tersebut kerana mereka dikenakan sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu daripada Fifa.
“Daripada AFL, kita ada letakkan syarat yang berasingan daripada segi pendaftaran pemain sebab kita punya peraturan minimum kena daftarkan 20 pemain tetapi kalau mereka tidak boleh daftarkan pemain dan dekat situlah kita kena tentukan.
“Jika mereka tidak boleh daftarkan pemain, kalau kita bagi dia main pun dia tak boleh main, sebab tak ada pemain dan mungkin boleh digugurkan,” katanya.
Raimi juga menjelaskan tempoh akhir untuk mendaftarkan pemain bagi semua 15 pasukan yang lain adalah 30 Mei namun Kelantan FC diberikan tempoh sehingga 8 Mei supaya AFL mempunyai ruang masa untuk menggantikan dengan pasukan lain sekiranya Kelantan digugurkan.
AFL turut menjelaskan Kelantan diterima beraksi dalam saingan Liga A1 atas faktor pasukan negeri dan tidak mahu pasukan tersebut “lenyap” daripada saingan bola sepak Malaysia.