PENYERANG skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid tampil memberi pandangan positif terhadap kehadiran pemain warisan baru dalam skuad kebangsaan Harimau Malaya kelak.
Baginya, kehadiran pemain-pemain warisan ini bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan oleh pemain tempatan, sebaliknya ia adalah satu cabaran sihat untuk mereka mempertingkatkan prestasi di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“Bagi saya, ini adalah satu cabaran untuk pemain-pemain lokal. Persaingan ini sebenarnya sihat, dan ia memberi peluang kepada pemain tempatan untuk bekerja lebih keras bagi merebut tempat dalam pasukan kebangsaan.
“Walaubagaimanapun, keputusan akhir tetap berada di tangan jurulatih,” ujar Safawi ketika ditemui media.
Menurut Safawi, prestasi pemain dalam liga tempatan akan menjadi kayu ukur utama untuk dipertimbangkan ke dalam pasukan kebangsaan, sekaligus membuktikan bahawa pemain tempatan masih relevan dan berdaya saing.
“Kalau kita banyak skor dan buat assist, InshaAllah peluang untuk pemain lokal tetap ada.
“Bukan semua pemain lokal tiada kualiti, cuma kita perlu tunjukkan melalui prestasi yang konsisten,” jelas Safawi lagi.
Safawi turut menganggap saingan seperti Shopee Cup sebagai platform terbaik untuk pemain-pemain tempatan menyerlahkan bakat mereka di peringkat yang lebih besar.
“Saya rasa piala Shopee ini banyak beri ruang untuk pemain-pemain lokal kita untuk membuktikan sesuatu.
“Ia bagus untuk perkembangan pemain dan juga untuk kemajuan pasukan serantau di Asia Tenggara,” tambahnya.
Kehadiran pemain warisan dalam skuad kebangsaan sebenarnya boleh menjadi satu peluang yang baik, kata Safawi, kerana ia dapat meningkatkan standard pasukan kebangsaan secara keseluruhan.
Dalam masa yang sama, ia juga memaksa pemain tempatan untuk bersaing secara sihat dan memberikan yang terbaik di atas padang.
“Bagi saya, ini adalah satu situasi yang baik. Persaingan ini penting kerana ia mencerminkan kemajuan liga kita sendiri.
“Pemain tempatan ada banyak potensi, dan pentas seperti Shopee Cup ini adalah tempat untuk kita tunjukkan bahawa kita juga mampu bersaing,” jelasnya dengan penuh keyakinan.

Dion Cools antara pemain warisan yang bermain buat Harimau Malaya.
Kata-kata Safawi ini jelas menunjukkan sikap matang dan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan pemain tempatan.
Kehadiran lebih ramai pemain warisan dilihatnya sebagai satu anugerah yang boleh memacu kemajuan bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih baik, dan pada masa sama memberi peluang kepada pemain-pemain tempatan untuk terus menyerlah dan membuktikan kebolehan mereka.