SELEPAS berakhir minggu ke-13 Liga Super Malaysia, kehangatan semakin terasa apabila carta liga memperlihatkan ianya kini terbahagi kepada tiga kelompok dengan kelompok tengah dilihat sangat sengit dan menarik.
Di kelompok atas, tiga pasukan, Johor Darul Ta’zim, Sabah FC dan Negeri Sembilan FC semakin menjarakkan diri dari pasukan di kelompok pertengahan manakala empat pasukan yang menghuni kelompok bawahan pula berlumba-lumba untuk cuba keluar darinya.
Berdasarkan keputusan perlawanan minggu ke-13, tiga dari empat semi finalis Piala FA tewas kepada lawan masing-masing dengan hanya JDT yang berjaya melakar kejayaan selesa di Kuching.
Hazwan Bakri kembali menemui sentuhan jaringan apabila gol kedua peribadinya musim ini membantu JDT menewaskan Sarawak United 4-0 sekaligus menambah tekanan kepada skuad The Crocs yang masih kekal dengan 10 mata dan kini jatuh ke tangga ke-11.
Sri Pahang mencipta kejutan terbesar minggu ini apabila menumbangkan Gergasi Merah dengan keputusan 2-0 sekaligus memberikan kemenangan pertama dari lima perlawanan dan juga yang pertama buat Dollah Salleh.
Selangor FC yang sedang dalam momentum yang baik gagal mengekalkannya sebaliknya terpaksa kembali ke papan putih untuk menilai kembali taktikal kerana ianya sangat menghampakan para penyokong.
Walaupun lama berehat, Negeri Sembilan FC tidak mempunyai masalah untuk membenam Terengganu FC 2-1 sekaligus membalas dendam penyingkiran mereka dari Piala FA kepada lawan yang sama.
Kecemerlangan penjaga gol, Syihan Azmi memastikan Negeri Sembilan memberikan Terengganu FC kekalahan kedua berturut-turut dalam liga dan untuk menduduki tangga kelapan dalam liga.
Dua semi finalis Piala AFC, Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman FC pula mempamerkan aksi menarik di Cheras dengan keputusan berpihak kepada KL City FC 2-1 sekaligus melonjak ke tangga keempat liga.
Jordan Mintah membuka akaun jaringannya bersama KL City FC dan mengambil kesempatan atas kegagalan Ronald Ngah Wanja menyempurnakan penalti untuk mengutip mata penuh sekaligus psikologi awal jika ditakdirkan kedua-dua pasukan bakal bertemu di final Piala AFC zon ASEAN.
Sabah FC meneruskan tekanan kepada JDT apabila sekali lagi bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan PJ City 2-1 di Petaling Jaya meskipun tanpa empat pemain antarabangsa. Disiplin tinggi yang dipamerkan para pemain mendapat pujian ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.
PJ City pula tidak bernasib baik apabila tewas namun keberanian mereka bermain dengan kesemua pemain tempatan seharusnya mendapat pujian dan perhatian dari semua pihak yang terlibat dalam bola sepak.
Melaka United FC melupakan kekecewaan tewas pada saat terakhir di aksi Piala FA apabila membelasah pasukan tercorot Penang FC 4-0 untuk meletakkan mereka di pertengahan liga ketika ini.
Nasib sama tidak boleh diungkap buat Penang FC yang masih bergelut mencari prestasi terbaik dan terpaksa menanggung kekalahan kelapan dan masih kekal dengan satu kemenangan di tangga terbawah liga.
Dengan hanya dua mata memisahkan tempat keempat hingga tempat kelapan, carta liga pastinya akan berubah sekali lagi apabila minggu ke-14 bakal dilangsungkan pada 1 dan 2 Ogos nanti.
Persaingan sengit inilah yang menjadikan Liga Super kembali hangat dan semakin mendapat perhatian daripada penyokong bola sepak tempatan.