KESEMUA Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025–2029 secara sukarela meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Keputusan drastik itu dicapai secara sebulat suara dalam Mesyuarat Exco FAM kali kelima yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, susulan tekanan dan perhatian umum terhadap situasi semasa melibatkan badan induk bola sepak negara.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, peletakan jawatan beramai-ramai itu bukan didorong kepentingan peribadi, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab bersama demi menjaga nama baik serta integriti organisasi.
“Ia merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini yang telah menarik perhatian umum. Jawatankuasa Eksekutif mengambil tanggungjawab bersama dan keperluan untuk bertindak bagi melindungi integriti FAM,” katanya.
Peletakan jawatan serentak ini juga dijangka memberi kesan besar terhadap hala tuju pengurusan FAM dalam tempoh terdekat, termasuk kemungkinan campur tangan sementara pihak luar seperti Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Dalam suasana bola sepak Malaysia yang sedang bergelut dengan pelbagai isu, keputusan ini meninggalkan satu persoalan besar kepada penyokong adakah pengorbanan ini bakal menjadi titik kebangkitan sebenar, atau sekadar permulaan kepada satu episod lebih mencabar buat Harimau Malaya dan ekosistem bola sepak negara?