PROGRAM Road to Gold (RTG) akan dinilai semula selepas jawatankuasa itu dijangka bermesyuarat selepas sambutan Aidilfitri, untuk menilai kemungkinan sukan baharu boleh dimasukkan.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, langkah berkenaan sebahagian daripada usaha memperkukuh RTG dalam misi menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.
Menurutnya, program itu juga berpotensi diperluas dengan membabitkan lebih banyak sukan berprestasi tinggi yang memiliki peluang cerah untuk meraih pingat.

“Kami akan memanggil jawatankuasa RTG bagi membincangkan dan menyelaraskan strategi supaya dana yang diperuntukkan benar-benar memberi hasil serta membantu negara meraih emas Olimpik pertama,” katanya, ketika melawat kem badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pagi ini.
Beliau berkata, pihaknya turut akan menjemput atlet serta persatuan masing-masing untuk berkongsi pandangan bagi memastikan program itu terus relevan dan berkesan.
Menurutnya lagi, sesi libat urus berkenaan penting bagi memastikan RTG kekal berada di landasan tepat dalam mencapai objektif utamanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata perbincangan awal juga sudah dimulakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meneliti kemungkinan memasukkan sukan berprestasi tinggi lain ke dalam program itu.
Program RTG yang diperkenalkan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi platform menyediakan sokongan tambahan kepada atlet elit negara yang memiliki potensi besar untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia.