BARA La Roja terus menyala ke peringkat suku akhir apabila berjaya menewaskan Portugal 1-0 di pusingan ke-16 sekali gus memadam impian Portugal menjadi juara dunia buat kali pertama.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Dallas itu menyaksikan kedua-dua negara gergasi itu mempamerkan aksi yang seimbang sejak sepak mula.

Sepanyol tampil dengan lebih dominan apabila berjaya menguasai 56 peratus penguasaan bola manakala Portugal kekal berdisiplin bertahan sambil mencari peluang untuk serangan balas.

Percaturan kedua-dua pengendali menyaksikan beberapa pertukaran pemain dilakukan pada babak kedua bagi meningkatkan tempo permainan.

Taktikal pertukaran pengendali La Roja, Luis de la Fuente, berjaya membuahkan hasil apabila Ferras Torres memberi umpanan pendek kemas kepada Mikel Merino yang berjaya memanfaatkan peluang keemasan tersebut pada minit 90+1.

Jaringan tunggal Mikel Merino itu mengesahkan kemaraan Sepanyol ke suku akhir, sekali gus mengekalkan impian La Roja untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah.

Juara Dunia 2010 itu bakal berdepan pemenang aksi Amerika Syarikat menentang Belgium di pentas suku akhir, dengan bara La Roja terus menyala dalam memburu gelaran dunia kedua.

Sepanyol yang tampil sebagai calon juara Piala Dunia 2026, hadir dengan keyakinan tinggi di suku akhir ini selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 35 perlawanan berturut-turut dan dijangka meneruskan langkah ke separuh akhir kejohanan.

Kredit Gambar:  Thomas Coex / AFP