KALI pertama terpilih mewakili negara ke temasya antarabangsa, membuatkan jaguh lompat jauh dalam pembikinan, Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham teruja.
Mengakui lebih bersemangat, atlet berusia 21 tahun dari Terengganu itu mahu membalas kepercayaan jurulatih, Mohd Zaki Sadri dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menaruh keyakinan kepada dirinya untuk beraksi di Temasya Sukan SEA Kemboja, Mei depan.
“Insya Allah saya akan buat yang terbaik dan sasaran saya adalah menaiki podium,” kata pemuda yang lebih senang dipanggil Rizal.
Atlet yang memiliki ketinggian 183 sentimeter (cm) itu mahu pastikan, pengalaman pertama di temasya antarabangsa ini, sebagai kenangan yang baik untuk dijadikan batu loncatan mencapai pencapaian lebih besar.
Pada temasya Sukma tahun lalu, Rizal meraih pingat perak dengan lompatan 7.25 meter (m).
Mempunyai catatan peribadi sejauh 7.48m yang dilakukan pada Terbuka Pahang, di Kuantan tahun lalu, Rizal yang dikenalpasti bakat oleh lagenda lompat kijang dan lompat jauh negara, Zaki Sadri yang kini Pengarah Kejurulatihan Olahraga Terengganu, pada 2019.
Sebelum ini, Zaki memberitahu mahu membentuk atlet muda itu sebagai salah seorang atlet lompat jauh terbaik Asia.
Selain Rizal, Muhammad Sunik Muslimin, 21, dari Sabah, turut disenarai di bawah kategori B untuk beraksi di Temasya Sukan SEA Kemboja.
Ketika ini, Andre Anura Anuar masih memegang rekod kebangsaan dengan lompatan 8.02m di Sukan SEA Manila, 2019.
Andre, 23, bagaimanapun disenarai ke Sukan Sea dalam acara lompat kijang bersama atlet Selangor, Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi, 19.