TIDAK boleh pandang rendah kemampuan Christian Adinata, pertemuan dahulu bukan lagi ukuran yang tepat.
Begitulah pengamatan dibuat perseorangan pertama negara di Sukan SEA Kemboja, Leong Jun Hao yang melangkah ke separuh akhir perseorangan lelaki.
Jun Hao memberitahu, dia hanya mampu membuat persiapan terbaik dan memperbetul setiap kesilapan yang dilakukannya di suku akhir hari ini.
Pada suku akhir, Jun Hao mengatasi pemain Filipina Angelo Albo, 21-14, 23-21.
“Pada hujung set kedua itu, dia tukar permainan, tiba-tiba dia all out attack hingga saya terkejut dan dia dapat kejar ke mata akhir.
“Mungkin saya juga terlalu ghairah nak tamatkan perlawanan dengan cepat, hingga buat banyak kesilapan,” kata Jun Hao, sambil mengakui tidak boleh mengulangi kesilapan sama ketika berdepan pilihan kedua, Christian.
Mengiringinya ke separuh akhir, Lee Shun Yang yang dipaksa bertarung tiga set, ketika berdepan pemain Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul.
Pilihan keempat itu tewas set pertama 18-21, berjaya bangkit dalam dua set berikutnya, dengan kemenangan 21-19, 21-17.
Kemenangan itu membolehkan Shun Yang menempah pertemuan dengan pilihan utama, Chico Aura Dwi Wardoyo.
“Jika Shun Yang bertanya saya akan berkongsi pengalaman menentang Chico pada final berpasukan lelaki, tetapi tidak semestinya esok Chico akan bermain seperti menentang saya,” kata Jun Hao.
Dalam pada itu, Shun Yang mengakui kekalahan set pertama kepada pemain Thailand itu, bertitik tolak daripada kekecewaannya pada aksi berpasukan lelaki.
“Saya bermain dengan penuh yakin, cuma masih ada kesan kecewa. Hari ini saya turun beraksi tanpa memikirkan terlalu banyak.
“Pada set kedua, saya tidak fikirkan lagi kekalahan lalu dan memberi yang terbaik yang saya ada dan perbetulkan setiap kelemahan,” katanya, sambal mengakui tidak tertekan untuk menentang Chico, kerana beraksi sebagai underdog.

Pasangan kembar Cheng Su Hui-Cheng Su Yin turut ke separuh akhir.
Selain perseorangan lelaki, peringkat separuh akhir esok turut menyaksikan beregu campuran Yap Roy Kin-Cheng Su Yin menentang pasangan Thailand, Pakkapon Teeratsakul-Phataimas Muenwong.
Negara turut mempunyai dua wakil beregu wanita.
Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan akan menentang pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi, manakala pasangan kembar Cheng Su Hui-Cheng Su Yin menentang satu lagi pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachell Allessya Rose.