Chen Tang Jie mengakui keadaan fizikal Toh Ee Wei menjadi keutamaan utama selepas gandingannya itu mengalami kecederaan lutut yang memaksa mereka menarik diri daripada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, semalam.

Menurut Tang Jie, beliau menasihatkan pasangannya itu agar tidak terlalu memaksa diri untuk meneruskan permainan kerana kesihatan dan keadaan fizikal adalah perkara paling utama.

“Dia memulas lututnya dan berada dalam kesakitan. Saya beritahu dia supaya tidak memberi terlalu banyak tekanan kepada dirinya kerana perkara paling penting adalah keadaan fizikalnya.

“Apa yang berlaku sudah berlaku dan ini juga bukan sesuatu yang dia mahukan,” kata Tang Jie kepada BWF.

Insiden berkenaan berlaku ketika pasangan negara sedang berdepan wakil India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dalam aksi suku akhir di Stadium Tertutup Singapura.

Ketika perlawanan memasuki fasa penting set pertama dengan kedudukan terikat 15-15, Ee Wei dilihat mengalami kecederaan pada lutut kiri sebelum permainan dihentikan seketika.

Walaupun menanggung kesakitan, pemain berusia 25 tahun itu tetap cuba meneruskan aksi dan membantu pasangan negara mendahului 18-16.

Namun, kecederaan yang dialaminya akhirnya memaksa pasangan negara menarik diri daripada perlawanan tersebut sekali gus menamatkan cabaran mereka di kejohanan berkenaan.

Suasana turut bertukar sayu apabila Ee Wei gagal menahan air mata sebelum dibawa keluar dari gelanggang menggunakan kerusi roda.

Setakat ini, tahap kecederaan sebenar yang dialami Ee Wei masih belum diketahui dan dijangka akan dinilai menerusi pemeriksaan lanjut dalam masa terdekat.

Kehilangan pasangan nombor satu negara itu pastinya menjadi tamparan buat kem badminton Malaysia, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa kejohanan antarabangsa kebelakangan ini.