Kredit Gambar: Franck Fife/AFP
Liverpool dilaporkan semakin hampir memuktamadkan perpindahan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola, dengan nilai urus niaga berpotensi mencecah £115 juta (RM629.56 juta).
Barcola kini menjadi sasaran utama The Reds untuk memperkuatkan jentera serangan, khususnya di bahagian sayap selepas kelab itu kehilangan Mohamed Salah pada penghujung musim lalu.
PSG sebelum ini dikatakan meletakkan tanda harga sekitar £145 juta (RM793.79 juta) untuk pemain berusia 23 tahun itu, namun rundingan terbaharu membuka peluang buat Liverpool mendapatkan khidmatnya pada nilai yang lebih rendah.
Menurut laporan The Times, persetujuan antara kedua-dua kelab berpotensi dicapai pada angka £115 juta, sekali gus menjadikan Barcola pemain termahal kedua dalam sejarah pembelian Liverpool.
Rekod berkenaan ketika ini dipegang Alexander Isak selepas Liverpool membayar £125 juta (RM684.30 juta) untuk mendapatkan penyerang Sweden itu pada musim panas lalu.
Minat Liverpool terhadap Barcola semakin meningkat selepas pemain berkenaan mempamerkan prestasi mengagumkan bersama Perancis di Piala Dunia, termasuk meledak tiga gol walaupun beberapa kali bermula dari bangku simpanan.
Di peringkat kelab pula, Barcola memainkan peranan penting dalam kejayaan PSG mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara untuk kali kedua berturut-turut, sekali gus meningkatkan nilainya di pasaran perpindahan.
Liverpool bagaimanapun perlu berdepan persaingan Arsenal yang turut dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan pemain sayap tersebut bagi menambah pilihan di bahagian serangan.
Jika berjaya diselesaikan, perpindahan Barcola bakal menjadi antara urus niaga terbesar dalam jendela perpindahan musim panas ini, yang menyaksikan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris terus berbelanja besar untuk memperkuatkan skuad masing-masing.