Chelsea’s Spanish defender #03 Marc Cucurella (R) pulls on the shirt of Liverpool’s French defender #05 Ibrahima Konate during the English Premier League football match between Liverpool and Chelsea at Anfield in Liverpool, north west England on May 9, 2026. (Photo by PETER POWELL / AFP)


MASA
depan Ibrahima Konate bersama Liverpool terus menjadi tanda tanya apabila rundingan kontrak baharu antara kedua-dua pihak dilaporkan masih menemui jalan buntu.

Pertahanan antarabangsa Perancis itu kini memasuki fasa akhir kontraknya di Anfield dan berpotensi meninggalkan kelab secara percuma sekiranya tiada persetujuan dicapai dalam tempoh terdekat.

Konate yang menyertai Liverpool pada 2021 berkembang menjadi antara tonggak utama pasukan, memainkan peranan penting di bawah kendalian Jurgen Klopp sebelum meneruskan pengaruhnya bersama pengurus baharu, Arne Slot.

Sebelum ini, pemain berusia 27 tahun itu pernah memberi gambaran positif mengenai rundingan kontraknya apabila menyatakan kedua-dua pihak berada di landasan yang baik untuk mencapai persetujuan.

Malah, beliau turut menyuarakan hasrat untuk terus kekal bersama The Reds selepas beberapa musim cemerlang di Merseyside.

Namun, perkembangan terkini menunjukkan situasi tersebut berubah apabila rundingan dilaporkan gagal mencapai kata sepakat, sekali gus membuka ruang buat Konate mencari cabaran baharu.

Nama pertahanan itu sebelum ini sering dikaitkan dengan Real Madrid, namun kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) kini dilihat berada di kedudukan terbaik untuk mendapatkan khidmatnya.

Perpindahan ke PSG juga bakal menyaksikan Konate kembali ke kota kelahirannya di Paris selepas beberapa tahun beraksi di England.

Juara Perancis itu dilaporkan sedang memperkukuhkan benteng pertahanan mereka meskipun sudah memiliki beberapa pemain utama seperti Marquinhos, Willian Pacho dan Illia Zabarnyi.

Sekiranya perpindahan tersebut menjadi kenyataan, Liverpool bakal kehilangan seorang lagi tonggak penting menjelang musim baharu selepas beberapa perubahan besar yang sedang berlaku dalam skuad mereka.