Kredit Gambar: ASEAN United FC

Vietnam mencipta sejarah apabila berjaya mempertahankan kejuaraan ASEAN Hyundai Cup 2026 selepas seri 2-2 dengan Thailand dalam aksi final kedua di Stadium Nasional Mỹ Đình, Hanoi, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara dengan kemenangan 4-2 secara agregat, selepas membawa bekalan 2-0 daripada aksi pertama di Bangkok pada Sabtu lalu, sekali gus menamatkan kemarau kejayaan mempertahankan kejuaraan yang sebelum ini tidak pernah mereka lakukan.

Thailand bagaimanapun membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi Yotsakon Burapha dan terus menguasai sebahagian besar babak pertama dalam usaha mengejar defisit dua gol, malah hampir menambah jaringan menerusi sepakan penalti Kakana Khamyok yang gagal disempurnakan.

Vietnam bangkit selepas rehat apabila Chatchai Bootprom menjaringkan gol sendiri pada minit ke-52 selepas percubaan Đỗ Hoàng Hên terkena tiang sebelum bola terkena tumit penjaga gol Thailand itu untuk mengikat kedudukan 1-1.

Thailand kembali di hadapan enam minit sebelum tamat permainan menerusi Wanchai Jarunongkran, namun Vietnam sekali lagi mendapat gol penyamaan hasil jaringan sendiri Wanchai pada penghujung perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan dengan agregat 4-2.

Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik, memuji semangat anak buahnya yang bangkit selepas persembahan kurang meyakinkan pada separuh masa pertama, sambil menyifatkan kejayaan itu sebagai kemenangan buat seluruh peminat bola sepak Vietnam.

Kim turut mengakui perubahan taktikal ketika rehat menjadi titik penting kebangkitan pasukannya dan berterima kasih kepada pemain kerana terus berjuang sehingga wisel penamat, sekali gus membolehkan Vietnam mencipta sejarah dengan mempertahankan kejuaraan buat kali pertama.

Kejayaan itu turut menjadikan Kim sebagai jurulatih kelima yang berjaya memenangi gelaran secara berturut-turut, manakala Vietnam kini mengumpul empat kejuaraan selepas turut menjuarai edisi 2008, 2018 dan 2024, menyamai jumlah gelaran Singapura.

Dalam pada itu, Hoàng Hên yang dinobatkan sebagai Hyundai Player of the Match memuji Kim atas usaha kerasnya dan menegaskan kejayaan tersebut adalah hasil kerja berpasukan, sambil mengakui final berdepan Thailand merupakan cabaran sukar sebelum Vietnam akhirnya berjaya mempertahankan mahkota mereka.