RED Bull Racing menyambut kemenangan di Grand Prix Monaco hujung minggu lalu dengan pengumuman akan mengekalkan Sergio Perez untuk bergandingan bersama Max Verstappen hingga musim 2024.
Pemandu kelahiran Mexico itu menyertai Red Bull musim lalu dan berjaya memenangi satu perlumbaan di Azerbaijan beserta empat lagi kedudukan podium untuk mengakhiri musim di tangga keempat kedudukan pemandu.
Persembahannya bertambah baik musim ini apabila sudah pun berjaya menduduki podium tiga kali ditambah kemenangan di Monaco dan kini hanya 15 mata di belakang pendahulu keseluruhan dan juga rakam sepasukan, Max Verstappen.
Red Bull mengesahkan pada Selasa bahawa mereka sudah menyerahkan lanjutan kontrak selama dua tahun kepada Perez yang telah ditandatangani olehnya ketika hujung minggu Grand Prix Monaco.
Prinsipal pasukan, Christian Horner berkata Perez membuktikan bahawa dia adalah ahli pasukan yang bagus dan kini sudah meningkatkan corak pemanduannya dan ianya tidak sukar buat Red Bull untuk mengekalkan beliau.
“Sejak menyertai Oracle Red Bull Racing, Checo telah melakukan tugas yang fantastik. Perez berjaya membuktikan dari masa ke masa bahawa dia bukan sahaja seorang ahli pasukan yang bagus tetapi tahap keselesaannya semakin meningkat. Checo kini adalah seorang pemandu yang semakin mendapat perhatian di grid.
“Tahun ini dia telah mengambil satu lagi langkah ke hadapan dan jurang mata kepada Verstappen semakin rapat dengan petak pertama di Jeddah dan kemenangan hebat beliau di Monaco adalah bukti.
“Bagi kami, mengekalkan kepantasan, corak perlumbaan dan pengalaman beliau adalah satu keputusan yang mudah dan kami gembira Perez akan terus berlumba bersama kami hingga 2024. Bersama Max, kami percaya kami mempunyai dua pelumba yang mampu memberikan kami hadiah utama dalam Formula 1,” jelas Horner.
Sementara itu, Perez nyata gembira dengan keputusan ini dan berbangga dapat kekal bersama-sama Red Bull Racing dan bersedia untuk membuktikan kemampuannya sekali lagi.
“Ianya adalah hujung minggu yang cukup hebat buat saya. Memenangi Grand Prix Monaco adalah impian setiap pemandu dan ditambah pula dengan lanjutan kontrak ini cukup untuk menambah kegembiraan saya.
“Saya berbangga untuk menjadi sebahagian dari pasukan ini dan saya selesa dengannya. Kami bekerjasama baik dan hubungan saya dengan Max sama ada di dalam dan luar litar sangat membantu kami untuk maju lebih lagi kehadapan.
“Kami telah membina momentum yang hebat sebagai satu pasukan yang dapat dilihat pada prestasi tahun ini. Saya teruja untuk melihat kesannya terhadap kami di masa hadapan,” tambahnya.
Kempen 2023 dan 2024 akan menjadi musim ke-12 dan ke-13 Perez dalam Formula 1 sejak melakukan debut di Grand Prix Australia pada 2011.