KELEMAHAN yang ada pada skuad futsal kebangsaan bakal diatasi apabila pengendali baharu, Rakphol Sainetngam mahu menerapkan DNAnya sendiri dalam mencorak permainan pasukan kebangsaan.

Pengendali Thailand yang baru sahaja diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Futsal Kebangsaan yang baharu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata skuad kebangsaan ketika ini tidak mempunyai corak permainan dan dia mahu menerapkan DNA Harimau sebagai nadi buat pasukan ini.

“Skuad kebangsaan perlu mempunyai corak permainan yang baharu. Malaysia adalah Harimau dan saya mahu pemain bermain seperti seekor harimau kerana itu adalah corak yang akan saya terapkan.

 

“Seperti harimau, ketika bertahan kita perlu lebih bertenang dan mengambil kesempatan apabila lawan melakukan kesilapan. Ketika menyerang pula, kita perlu pantas untuk membunuh lawan dan ini adalah perkara yang akan saya terapkan,” katanya dalam sidang media.

Tugasan pertama Rakphol adalah membawa Malaysia menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia Futsal AFC 2024 di Uzbekistan pada Oktober dan dia meletakkan sasaran untuk layak ke pusingan akhir tahun hadapan.

Dalam tempoh terdekat ini, dia akan mengumpulkan pemain berdasarkan prestasi di Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) dan Piala Futsal Malaysia sebelum akan melakukan transformasi pemain generasi baharu.

“Kami mensasarkan layak ke peringkat akhir Piala Asia Futsal tahun hadapan dan buat masa ini, saya akan memilih pemain yang menunjukkan prestasi baik di peringkat liga dan akan membentuk generasi pemain baharu selepas ini.

“Saya juga memerlukan pemain yang akan memberikan bukan 100 peratus tetapi 1,000 peratus kerana itu yang diperlukan untuk seorang pemain itu mewakili pasukan kebangsaan,” jelasnya.

Rakphol juga akan menerima barisan kejurulatihan yang baharu dengan FAM mengesahkan akan melakukan pemilihan pembantu jurulatih daripada barisan jurulatih tempatan yang muda.