KEMENANGAN 7-3 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final pertama Liga Premier Futsal Malaysia 2023 (MPFL23) memberi kelegaan buat jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas.

Membawa bekalan selesa ke final kedua di Johor Bahru, Gerard mengakui diselubungi perasaan ‘seksa’ dengan perlawanan tersebut memandangkan JDT adalah satu pasukan yang baik.

“Sebagai satu pasukan, individu dan juga jurulatih, kami tak pernah rasa ‘terseksa’ seperti ini tetapi ianya juga menjadikan saya sangat gembira dan bangga kerana memperolehi keputusan yang bagus.

“Dengan semua penyokong yang hadir, keputusan yang diperolehi malam ini adalah satu yang tidak mustahil untuk kami capai,” katanya ketika ditemui selepas habis perlawanan.

Jelasnya lagi, walaupun dipandang mempunyai pasukan muda, namun skuad Tok Gajah itu berjaya menghasilkan prestasi yang berbeza daripada musim lepas namun masih jauh perjalanan perlu ditempuhi.

Mengulas permainan yang berlangsung, Gerard berkata anak-anak buahnya melakukan sedikit kesilapan apabila memberi peluang kepada pihak lawan untuk menjaringkan gol dan terpaksa menerima dua kad kuning buat Amin Nasrollah dan Mahadir Harahap.

“Setiap kemenangan adalah satu perkara yang baik. Kami hilang beberapa orang pemain untuk aksi final kedua namun saya sangat gembira untuk keputusan malam ini.

“Esok adalah hari untuk berfikir mengenai final yang kedua. Kami cuma perlu menjadi juara,” tambahnya lagi.

Pahang Rangers FC sekali lagi akan bertemu dengan JDT dalam aksi final kedua MPFL23 di Johor Bahru pada 14 Ogos depan.