PASUKAN futsal Pahang Rangers FC membuktikan mereka raja futsal tanah air apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 4-4 sebelum menang menerusi penentuan penalti 3-1 keatas Johor Darul Ta’zim dalam final Malaysia Futsal Cup 2023 yang penuh dramatik.

Pertembungan dua kuasa besar futsal itu menggamatkan penyokong yang memenuhi Stadium Malawati, Shah Alam dalam aksi yang cukup mendebarkan sejak dari minit pertama permainan hingga tamat penentuan penalti.

JDT seakan-akan sudah berjaya memenangi perlawanan apabila mendahului 3-1 ketika permainan berbaki empat minit tetapi taktikal ‘power play’ yang digunakan Pahang Rangers berjaya mengikat kedudukan 3-3 pada minit-minit terakhir perlawanan.

Sergio Jamur sepatutnya sudah mengesahkan kemenangan buat Pahang Rangers pada minit terakhir masa sebenar tetapi sepakan penaltinya tepat ke arah penjaga gol JDT untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kedua-dua pasukan berjaya menjaringkan satu gol pada masa tambahan dan jaringan saat akhir JDT dibatalkan kerana dikatakan sudah melebihi masa yang ditetapkan hingga berlaku pertikaian yang menyebabkan beberapa pemain dilayangkan kad amaran dari pengadil.

Tuah nyata menyebelahi Pahang Rangers apabila tiga sepakan pemainnya berjaya menemui jaring manakala tiga sepakan penalti JDT berjaya diselamatkan penjaga gol untuk memberikan kemenangan muktamad kepada skuad kendalian Gerard Casas itu.

Pemain Pahang Rangers, Zainulzahin Sinuan turut diumumkan sebagai penjaga gol terbaik manakala Ridzwan Bakri dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dan Pahang Rangers membawa pulang wang kemenangan bernilai RM30,000.

JDT terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000 manakala Selangor MAC pula menduduki tempat ketiga dan Terengganu di tangga keempat.