KEM latihan skuad futsal Harimau Malaya bermula secara rasmi di Wisma FAM hari ini menjelang Kelayakan Piala Asia Futsal 2026, dengan ketua jurulatih, Rakhpol Sainetngam menekankan persiapan rapi dan sokongan padu penyokong sebagai kunci kejayaan.

Rakhpol menjelaskan pasukannya kini menjalani sesi latihan intensif di Kelana Jaya sebelum berangkat ke Thailand pada 8 September bagi menguji kekuatan dalam dua aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Thailand serta kelab gergasi, Chonburi Bluewave. Skuad negara kemudiannya akan kembali terus ke Pahang untuk menghadapi kempen kelayakan.

“Persiapan berjalan baik, kami fokus minggu ini di FAM, selepas itu kita ke Thailand. Dua perlawanan di sana sangat penting untuk uji pasukan sebelum ke Kuantan,” katanya selepas sesi latihan hari pertama.

Mengulas mengenai cabaran kumpulan, Rakhpol tidak menafikan Iran adalah lawan paling digeruni namun tetap meletakkan tumpuan awal kepada pertemuan sulung menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE). “Iran pasukan dunia, mereka sangat kuat. Tetapi bagi saya perlawanan penting adalah menentang UAE. Kalau kita berjaya menang UAE, peluang ke pusingan akhir sangat cerah,” katanya.

Beliau turut mendedahkan sudah berbincang bersama pemain mengenai pendekatan taktikal menghadapi Iran, namun mahu barisan Harimau Malaya memberikan sesuatu yang istimewa di hadapan penyokong sendiri. “Kita perlu beri sesuatu yang special kepada peminat kerana kita menjadi tuan rumah. Itu tanggungjawab kita,” ujarnya.

Venue kejohanan, Stadium Sukpa mungkin tidak sinonim dengan futsal, namun Rakhpol percaya kehadiran penyokong bakal mengubah suasana. “Kami harap ramai penyokong Malaysia hadir di Sukpa untuk beri sokongan. Ia akan jadi kekuatan tambahan buat pasukan,” katanya penuh keyakinan.

Malaysia akan membuka tirai kempen kelayakan menentang UAE sebelum berdepan gergasi Asia, Iran, dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir AFC Piala Asia Futsal Indonesia 2026.