PAHANG Rangers FC sah menempah tiket ke final Liga Premier Futsal Malaysia 2023 (MPFL) apabila berjaya menewaskan Selangor MAC 3-3 dengan kelebihan agregat 7-6 dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.
Penyokong yang hadir dikejutkan dengan jarinagan pertama dari Selangor MAC hasil jaringan daripada Aidil Shahril seawal minit pertama permainan.
Selangor MAC menunjukkan penguasaan permainan dengan beberapa percubaan gol yang menggoyahkan pertahanan kukuh Pahang Rangers, namun nasib tidak berpihak kepada mereka.
Ketegangan semakin meningkat apabila cubaan gol jarak jauh dari Sergio Jamur tidak berjaya, meninggalkan benteng pertahanan anak buah Edgar Eder sedikit kelam-kabut.
Kesilapan penjaga gol Pahang Rangers FC memberikan mata mudah buat Selangor MAC hasil sepakan daripada Syahir Iqbal pada minit ke 20 menjadikan kedudukan 2-0.
Keputusan kekal 2-0 hingga tamat perlawanan separuh masa pertama.
Serangan bertubi-tubi dari Pahang Rangers demi mendapatkan mata akhirnya berhasil dengan jaringan gol daripada Sergio Jamur pada minit ke-29, menyemarakkan semangat penyokong setia skuad Tok Gajah.
Permainan menjadi semakin sengit, kad kuning demi kad kuning dilayangkan kepada pemain kedua-dua pasukan sehingga mencetuskan provokasi antara penyokong dan barisan kejurulatihan skuad Selangor MAC yang akhirnya menyaksikan pengadil memberi kad merah kepada jurulatih penjaga gol mereka.
Pahang Rangers sekali lagi melakukan kejutan apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 dengan Selangor MAC hasil jaringan Mahadir Hararap pada minit ke 32.
Sorakan menggegar di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam daripada penyokong-penyokong yang hadir apabila skuad Tol Gajah melakukan ‘come back’ mendapatkan mata yang ketiga hasil jaringan daripada Harith Na’im pada minit ke-34 meninggalkan Selangor MAC 3-2 setelah ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama.
Selangor MAC tidak berdiam diri dengan melakukan balasan gol pada minit ke-38 sekali lagi hasil jaringan daripada Aidil Shahril meletakkan mata sama 3-3.
Keputusan kekal 3-3 sehingga habis perlawanan namun Pahang Rangers FC berjaya memastikan tempat di final dengan kelebihan agregat 7-6 sekaligus memadamkan impian Selangor MAC untuk melangkah ke final MPFL 2023.
Perlawanan separuh akhir kedua antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor TOT United akan diadakan pada 30 Julai di Stadium Bandaraya Pasir Gudang.