PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) mahu sistem ‘challenge’ yang digunakan dalam perlawanan sukan itu diperkemas, sebelum mula dilaksanakan di Piala Dunia di Bihar, India, Mac ini.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, perubahan tersebut perlu dilakukan bagi menjadikan perlawanan lebih menarik dan meningkatkan keadilan dalam kejohanan sepak takraw, memandangkan format sistem ‘challenge‘ ketika ini, hanya membenarkan pasukan mencabar keputusan dua kali sahaja.
Beliau berkata, setiap kali ‘challenge’ digunakan oleh setiap pasukan, ia akan akan diambil kira walaupun cabaran tersebut dimenangi pasukan yang menggunakannya.

“Kita kena ambil peluang ini kerana mungkin ada kesilapan daripada pengadil. Jika challenge itu menang, ia perlu dikekalkan, bukannya ditolak. Ini antara perubahan yang kita mahukan.
“Kalau kita kalah dalam setiap cabaran, memang wajar kita kehilangan satu cabaran, tetapi kalau kita menang, mengapa perlu juga hilang satu cabaran? Ini yang kita mahu ubah.
“Jadi, kita mahu sistem challenge kini digunakan pakai menjelang kejohanan Piala Dunia di India, bulan depan,” kata Sumali kepada pemberita pada sidang media di ibu negara semalam.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan itu dan akan membawa perkara terbabit ke peringkat Istaf untuk kelulusan.

“Saya masih belum dapat mengulas kerana perkara ini akan diserahkan kepada jawatankuasa kami untuk diperhalusi. Apapun, kami melihat perkara ini sebagai satu cadangan yang baik dan akan cuba melaksanakannya di Kejohanan Dunia di Bihar, India pada Mac nanti,” ujarnya.
Dalam mesyuarat sama, Sumali turut berkongsi, sebanyak 15 pasukan akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini, dari 10 sehingga 18 Mei depan dan Loas menyertai penyertaan terakhir.
Antara negara yang bertanding adalah Malaysia, India, Singapura, Brunei, Iraq, Myanmar, Indonesia, Vietnam, Jepun dan Taiwan.