SELEPAS tular pengumuman yang mencetuskan kecoh di media sosial, Petronas akhirnya tampil menutup spekulasi dengan kenyataan rasmi yang mereka tidak pernah, tidak sedang, dan tidak akan menaja Liga Bola Sepak Bangladesh sebagaimana dakwaan yang berlegar sejak malam tadi.
Dalam kenyataan ringkas, Petronas menolak sepenuhnya dakwaan bahawa mereka memeterai apa-apa bentuk kerjasama atau memberikan kebenaran penggunaan identiti korporat dalam penganjuran liga tersebut.
“Petronas tidak memeterai sebarang perjanjian penajaan untuk Liga Bolasepak Bangladesh, dan kami juga tidak membenarkan penggunaan nama atau jenama kami berkaitan dengan liga ini.
Petronas memandang serius integriti jenama kami dan kekal fokus memberikan nilai kepada pihak berkepentingan dan komuniti tempat kami beroperasi,” jelas kenyataan itu.

Spekulasi itu sebelum ini mencuri tumpuan penyokong tempatan yang bingung melihat nama Petronas dipaparkan sebagai “penaja utama” liga berkenaan. Tidak sampai 24 jam, perbincangan hangat di media sosial memaksa Petronas memperbetulkan keadaan dan membersihkan reputasi jenamanya.
Dalam dunia sukan, Petronas bukan nama kecil. Syarikat itu sudah pun sinonim dengan penajaan bertaraf dunia, khususnya bersama Mercedes-AMG Formula One, kerjasama yang mengukir pelbagai kejuaraan. Di peringkat tempatan pula, Petronas merupakan rakan strategik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan rekod penajaan terbesar dalam sejarah badan tersebut.
Penjelasan ini sekali gus menamatkan kekeliruan, malah mengesahkan bahawa reputasi dan arah pelaburan sukan Petronas kekal tertumpu kepada platform yang sejajar dengan strategi global dan komitmen mereka kepada komuniti.