KETUA jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares mengakui bahawa Kuala Lumpur City FC adalah pasukan yang lebih baik pada perlawanan akhir Zon Asean Piala AFC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Rabu.
Dia juga sedar kekalahan ini berpunca daripada kesilapan yang dilakukan para pemain tetapi walaubagaimanapun dia tetap berbangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya yang rata-rata dibarisi pemain muda.
Tavares sedikit kecewa apabila pasukannya tidak dibenarkan berlatih di stadium tanpa diberikan sebarang sebab yang munasabah namun dia gembira dengan segala keputusan yang dilakukan oleh pengadil Jepun pada perlawanan itu.

“Tahniah kepada Kuala Lumpur City. Mereka adalah pasukan yang lebih baik di atas padang. Kami hanya mula bermain permainan kami selepas dibolosi gol ketiga. Namun beberapa kesilapan selepas itu dihukum dengan gol keempat dan kelima.
“Saya bangga dengan semua pemain. Pasukan ini hampir tersingkir dari Liga 1 musim lalu yang menyukarkan kami untuk menandatangani pemain hebat. Namun pemain-pemain muda ini menunjukkan yang mereka boleh bermain namun hari ini kami melakukan kesilapan yang jarang kami lakukan.
“Inilah bola sepak namun anda tidak boleh menilai pasukan hanya dari perlawanan ini. Semangat pemain sangat luar biasa kerana ini adalah impian mereka tetapi sayangnya kita melakukan banyak kesilapan hari ini.

“Kami sampai di sini pada 21 Ogos tetapi tak dibenarkan untuk berlatih di stadium ini, jadi untuk apa kami datang lebih awal. Pengadil melakukan tugas yang baik dan kami tewas bukan disebabkan pengadil tetapi kerana KL City bermain dengan baik dan kami melakukan kesilapan,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Pengendali Portugal itu juga mengucapkan selamat maju jaya buat KL City dan dia mahu memberikan satu pelukan buat semua pemain, pegawai dan penyokong serta semua yang terlibat dengan PSM Makassar.
Dalam aksi final Zon Asean itu, skuad Juju Eka tewas 2-5 kepada KL City hasil jaringan Romel Morales, Jordan Mintah, Hadin Azman dan dua jaringan daripada ketua pasukan Paulo Josue.