Kredit Gambar: FRANCK FIFE/AFP

Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui Sepanyol masih menjadi calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia 2026 menjelang pertembungan separuh akhir antara kedua-dua pasukan di Stadium AT&T, awal pagi esok.

Menurut Deschamps, juara Eropah itu telah mempamerkan aksi yang cukup konsisten sepanjang kejohanan, sekali gus membuktikan status mereka sebagai antara pasukan paling lengkap di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, keputusan seri tanpa jaringan ketika aksi pembukaan menentang Cape Verde tidak lagi boleh dijadikan ukuran memandangkan Sepanyol berjaya bangkit dengan beberapa persembahan meyakinkan selepas itu.

“Lupakan perlawanan pertama menentang Cape Verde. Sejak itu mereka benar-benar membuktikan mengapa mereka dianggap sebagai pasukan pilihan.

“Saya tidak mahu meletakkan tekanan tambahan kepada Luis de la Fuente kerana beliau sendiri sedar jangkaan terhadap Sepanyol sangat tinggi,” katanya.

Deschamps turut memuji keseimbangan dimiliki lawannya yang bukan sahaja tajam di bahagian serangan, malah cukup kukuh ketika bertahan.

“Mereka mempunyai barisan serangan yang berkualiti, tetapi pada masa sama sangat sukar dibolosi. Rekod pertahanan mereka sejak beberapa perlawanan lalu membuktikan perkara itu,” katanya.

Walaupun mengakui kekuatan Sepanyol, bekas juara dunia itu percaya aksi separuh akhir bakal berlangsung dalam tempo tinggi memandangkan kedua-dua pasukan memiliki ramai pemain berkualiti di jentera serangan.

“Dengan kualiti yang ada pada kedua-dua pasukan, saya menjangkakan satu perlawanan yang menarik untuk disaksikan,” katanya.

Mengulas ancaman bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, Deschamps mengakui pemain itu mempunyai kemampuan mengubah keputusan perlawanan, namun yakin Perancis memiliki pendekatan tersendiri untuk mengehadkan pengaruhnya.

“Kami tahu apa kekuatan mereka dan kami juga tahu kekuatan yang kami miliki. Sudah tentu kami mengkaji Yamal kerana dia mampu mencipta perbezaan, tetapi kami juga mempunyai pemain yang boleh memberi ancaman kepada mereka.

“Dalam situasi satu lawan satu, dia memang sukar dikawal, namun pemain kami juga mampu memberikan cabaran yang sama kepada lawan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Deschamps turut mengesahkan kapten pasukan, Kylian Mbappe, berada dalam keadaan terbaik selepas mengalami hentakan ketika aksi suku akhir menentang Maghribi.

“Mbappe berada pada tahap 100 peratus dan bersedia untuk diturunkan,” katanya.

Perancis akan turun memburu tempat ke final buat kali kedua berturut-turut, namun perlu melepasi halangan Sepanyol yang turut berazam menamatkan penantian 16 tahun untuk kembali beraksi di pentas final Piala Dunia.