KEJOHANAN Sukan SEA akan kembali ke Malaysia selepas Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memilih kita menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu untuk edisi ke-34 pada 2027.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara pada mesyuarat Majlis SEAGF yang diadakan di sini pada Khamis.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis SEAGF atas kepercayaan kepada MOM untuk menganjurkan Sukan SEA.
“MOM akan membuat temujanji untuk memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan ,Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu secara rasmi sekembalinya ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Hanoi, Vietnam.
Ini adalah kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).
Negara Brunei Darussalam pada asalnya disebut-sebut sebagai negara tuan rumah untuk edisi ke-34 sebelum menarik diri pada Disember lalu tanpa sebarang sebab rasmi.
Sukan SEA ke-31 kini sedang berlangsung di Hanoi selepas ia ditangguhkan dari 2021 akibat pandemik COVID-19. Edisi ke-32 akan diadakan di Kemboja dan Sukan SEA ke-33 akan diadakan di Thailand.
Singapura mengumumkan pada Khamis bahawa akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-35 pada 2029.