PENGENDALI Sri Pahang FC, Christophe Gamel menyelar tindakan Muslim Ahmad yang melakukan terjahan keras ke atas pemain Sarawak United FC.
Dia menyifatkan tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku daripada seorang pemain berpengalaman seperti Muslim.
Malah Gamel berpendapat kelab tersebut telah dikhianati melalui tindakan kurang matang Muslim Ahmad mengakibatkan dia dilayangkan kad merah.
“Saya tidak menjangkakan ini daripada pemain senior yang banyak pengalaman.
“Saya merasakan kelab ini telah dikhianati. Ia tidak normal bagi pemain berpengalaman untuk melakukan perkara seperti itu,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Sarawak United FC, B. Sathianathan memuji barisan pemainnya meskipun keletihan namun tetap dapat memberikan kemenangan buat pasukan Sarawak United FC.
Tambahnya, mereka mempunyai sedikit kelebihan pada babak kedua apabila pemain sudah mula menyedari pasukan lawan kekurangan satu pemain.
Kelebihan itu segera digunakan dan mereka berjaya memperoleh dua gol sekaligus meletakkan pasukan itu mengutip tiga mata penuh.
Sathianathan turut memberi kredit kepada Ashri Chuchu dengan mengatakan dia seorang pemain yang berpengalaman dan memiliki prestasi yang baik.
“Memang saya pun khuatir kerana kita sampai di Kuantan pukul 3 pagi. Keadaan keletihan naik bas pulak tu.
“Separuh masa kedua kita main dengan 11 lawan 10 pemain, kelebihan buat kita,” kata Sathia.