Kredit Gambar: MSN Malaysia

Matteo Malucelli memulakan kempen Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dengan kemenangan selepas pelumba XDS Astana Team itu menguasai Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar, hari ini.

Pelumba Itali berusia 32 tahun itu mencatat masa 4 jam 6 minit 26 saat (4:06:26) bagi menamatkan perlumbaan sejauh 193 kilometer (km) yang berakhir menerusi pecutan beramai-ramai.

Malucelli mempamerkan kepantasan terbaik dalam kelompok utama untuk menewaskan Riley Pickrell daripada Modern Adventure Pro Cycling di tempat kedua, manakala pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Fernando Gaviria, melengkapkan podium di tempat ketiga. Ketiga-tiga pelumba merekodkan masa sama.

Kemenangan tersebut turut memberikan Malucelli kelebihan awal dalam persaingan keseluruhan apabila dia kini mengetuai klasifikasi umum (GC) dan mengambil alih jersi biru sebagai pendahulu Raja Pecut dengan kutipan 15 mata.

Pickrell berada di tangga kedua dengan 12 mata, manakala Gaviria mengumpul sembilan mata selepas aksi pembukaan itu.

Lebih menarik, kejayaan Malucelli hadir sehari selepas dia terlibat dalam kemalangan ketika sesi latihan. Dia dilaporkan tergelincir ketika mengambil selekoh sebelum mengalami hentakan pada bahagian tangan.

Pemeriksaan X-ray yang dijalankan selepas kejadian bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang keretakan serius, sekali gus membolehkan pelumba berkenaan meneruskan saingan di pentas LTdL 2026.

Sementara itu, Pet Rikunov daripada China Development Team mendahului klasifikasi Raja Bukit selepas mengumpul empat mata, manakala Kee Zhe Yie dari Terengganu Cycling Team meraih dua mata dan Muhammad Syawal Mazlin daripada Malaysia Pro Cycling memperoleh satu mata.

Dalam persaingan pelumba Asia, Muhammad Nur Aiman Rosli daripada Terengganu Cycling Team menjadi pelumba terbaik dengan catatan 4:06:53, diikuti Oda Hijiri dari ART dan Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling).

Saingan LTdL 2026 akan diteruskan dengan Peringkat 2 dari Taiping ke Gunung Jerai membabitkan jarak 145.6km, yang dijangka membuka persaingan lebih mencabar khususnya dalam perebutan pendakian dan klasifikasi keseluruhan.