KETUA jurulatih Sabah FC, Martin Stano menyifatkan keadaan cuaca yang buruk sebagai faktor utama yang menyukarkan perlawanan Liga Super menentang KL City FC di Stadium Likas, Jumaat lalu.

Dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, Stano mengakui pasukannya terpaksa menyesuaikan corak permainan berikutan keadaan padang yang licin dan hujan yang berterusan.

“Hari ini, saya rasa cuaca yang menang, bukan bola sepak. Keadaan cuaca memberi kami banyak masalah, terutama pada separuh masa pertama.

Sukar untuk bermain dalam situasi ini dan dengan keadaan padang seperti itu, ia bukan lagi tentang corak taktikal atau kemahiran teknikal. Pemain hanya perlu menyesuaikan diri dan cuba melakukan sesuatu di bahagian serangan,” katanya selepas perlawanan.

Ketika ditanya mengenai situasi pemain di bahagian serangan, Stano tidak mahu mengulas lanjut mengenai spekulasi perpindahan pemain lain tetapi mengakui pasukannya perlu mencari penyelesaian sekiranya penyerang utama mereka, Darren Lok, mengalami kecederaan.

“Darren bekerja keras dalam setiap perlawanan selama 90 minit, dan itu bukan tugas mudah. Ia sangat mencabar, dan kami berharap dia kekal cergas. Jika dia cedera, kami perlu mencari alternatif, mungkin Jafri Chew atau pemain lain. Kami akan mencari penyelesaian,” tambahnya.

The Rhinos kini berada di kedudukan ketiga liga, dan mengutip 34 mata selepas beraksi 19 perlawanan.

FOTO : MFL