PENGENDALI Kuala Lumpur (KL) City FC, Miroslav Kuljanac mengakui berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Sabah FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, walaupun keadaan padang yang kurang baik menjejaskan corak permainan pasukannya.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati. Kami bermain dengan baik dan cuba mengekalkan corak permainan yang telah kami latih. Tetapi dengan keadaan padang seperti ini, ia bukan sesuatu yang mudah kerana kami tidak mempunyai pemain untuk gaya bola sepak sebegitu.

“Namun, akhirnya, saya perlu gembira dengan satu mata yang diperoleh. Ia bukan perlawanan yang mudah, tetapi sekurang-kurangnya kami mendapat sesuatu daripada perlawanan ini,” katanya selepas perlawanan.

Perlawanan itu juga tertangguh lebih satu jam akibat hujan lebat, yang memberi cabaran tambahan kepada pasukan.

Haqimi Azim Rosli berjaya menyamakan kedudukan untuk KL City pada minit ke-80.

“Bukan mudah untuk pemain. Kami tiba di stadium sekitar jam 5 petang, tetapi perlawanan hanya bermula pada jam 9 malam. Secara psikologi, ia bukan situasi yang baik.

“Tetapi saya hanya berpesan kepada mereka untuk melupakan gangguan itu, menyesuaikan diri dengan keadaan, dan bermain bola sepak seperti biasa,” tambahnya.

Jurulatih asal Croatia itu turut mengakui bahawa KL City bukan pasukan yang mengamalkan corak permainan bola panjang kerana tidak memiliki pemain yang sesuai untuk gaya tersebut.

“Kami bukan pasukan yang gemar bermain bola panjang kerana tidak mempunyai pemain untuk gaya permainan sebegitu. Tetapi saya gembira kerana mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan.

“Mungkin kelewatan perlawanan menimbulkan sedikit ketidakpastian dalam pasukan, tetapi apabila permainan berlangsung, kami semakin baik dan saya berpuas hati dengan usaha mereka,” katanya.

Aksi berikutnya, KL City menanti kunjungan PDRM di Cheras pada Rabu ini.

FOTO : KL CITY FC