HASRAT Kelantan The Real Warriors FC untuk melakar kebangkitan dalam pusingan 16 Piala Malaysia 2026 berkubur apabila terpaksa akur disingkirkan Selangor FC, dengan ketua jurulatihnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui perbezaan kualiti dan kedalaman  ‘depth’ skuad menjadi faktor utama kekalahan pasukannya.

Menurut Akmal Rizal, Kelantan TRW sudah cuba memberi tekanan awal permainan, namun kekuatan Selangor terutama di bahagian pertahanan dan tengah berjaya mematikan perancangan yang diatur pemainnya.

“Kita tewas kepada pasukan yang jauh lebih baik daripada kita. Dalam permulaan permainan kita cuba memberi tekanan awal, tapi ketumpulan di barisan serangan dan kualiti pertahanan Selangor tahu bagaimana nak mengekang kita,” katanya.

Beliau turut mengakui dua kesilapan pada separuh masa pertama menjadi titik perubahan perlawanan apabila Selangor pantas menghukum kelalaian itu untuk mendahului dua gol.

“Sayangnya dua kesilapan dalam separuh masa pertama menyebabkan kita ketinggalan dua gol,” jelasnya.

Memasuki babak kedua, Kelantan TRW memiliki kelebihan seorang pemain apabila Selangor beraksi dengan 10 orang, namun situasi itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya. Akmal Rizal berkata tekanan untuk mendapatkan gol menyebabkan pasukannya terus mengasak, namun pertahanan Selangor kekal ampuh.

“Walaupun kami ada kelebihan seorang pemain, kami ketinggalan dua gol dan mahu menjaringkan gol. Tekanan itu ada, tapi mereka ada pemain berkualiti di barisan pertahanan yang tahu bagaimana nak menangani serangan,” katanya.

Situasi bertambah sukar apabila satu lagi kelekaan di barisan belakang dihukum dengan gol ketiga Selangor, sekali gus memadamkan terus peluang Kelantan TRW untuk bangkit.

“Kelekaan ketika mereka bermain 10 pemain telah dihukum dengan gol ketiga,” ujar Akmal Rizal.

Bagaimanapun, beliau enggan menyalahkan pemainnya dan memuji komitmen yang ditunjukkan sepanjang perlawanan.

“Saya tak boleh nak salahkan pemain, mereka dah beri apa yang mereka ada dengan kualiti yang mereka ada. Tahniah kepada Selangor yang mempunyai banyak pilihan pemain dan depth skuad yang jauh lebih baik,” katanya.

Akmal Rizal menegaskan fokus Kelantan TRW selepas ini adalah untuk bangkit dalam saingan Liga Super serta Challenge Cup, dengan sasaran memperbaiki kedudukan pasukan dan kembali bersaing dalam kelompok yang lebih baik.