BEKAS kapten skuad kebangsaan Australia, Mark Milligan cukup teruja apabila dapat memulakan tugasnya sebagai penolong ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Menurut Milligan, beliau cukup tertarik dengan projek revolusi yang dicetuskan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor sehingga membuat keputusan berhijrah ke Malaysia.

Pengendali muda berusia 39 tahun itu memberitahu bahawa beliau tidak sukar untuk membuat keputusan menyertai projek revolusi pasukan kebangsaan.

“Ia amat baik untuk saya berada di sini (Malaysia) dan memulakan tugas seawal mungkin. Saya sangat teruja dengan projek ini dan membawa bola sepak Malaysia ke arah lebih baik.

“Apabila peluang untuk bersama Harimau Malaya tiba, ia menjadi peluang untuk saya sebagai jurulatih dan menjadi sebahagian daripada projek yang amat mengujakan.

“Ia satu keputusan yang mudah untuk bersama projek ini setelah saya dihubungi oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski,” katanya.

Milligan berkata, beliau mahu menggunakan pengalaman yang ada pada dirinya selaku bekas pemain mahupun jurulatih untuk menyuntik aura baharu buat Harimau Malaya.

“Pengetahuan saya berdasarkan pengalaman beraksi di serata Asia sudah pasti bermanfaat kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya.

“Saya melihat ia sebagai satu aset bukan sahaja untuk membantu persiapan pasukan kebangsaan malah untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa bangga untuk melihat pemain muda negara diberi peluang oleh kelab untuk beraksi pada peringkat tertinggi kejohanan di Asia.

“Perkara yang paling penting adalah kelab terus memberikan ruang kepada pemain muda beraksi dan saingan liga yang kompetitif bakal membantu pasukan kebangsaan,” ujarnya.

Milligan tiba di tanah air pada pertengahan Februari lalu sebelum memulakan tugasnya membantu Cklamovski dengan menyaksikan Final 1 MFL Challenge Cup di antara Selangor menentang PDRM, Sabtu lalu.